Kos garisan jalan bercahaya dalam gelap lebih mahal 20 kali ganda

255

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengaku ada keperluan untuk memasang garisan jalan bercahaya dalam gelap di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik).

Tetapi ia melibatkan kos yang mahal hingga hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.



Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya memang sudah melakukan kajian berhubung perkara itu.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan garisan jalan bercahaya dalam gelap nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

“Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya, baru-baru ini. 

Justeru, Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga.

“Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Garisan jalan bercahaya dalam gelap yang pertama adalah di persimpangan Jalan Sungai Lalang B19 dan Sungai Tekali B16, Semenyih. 

Manakala, versi terpanjang pula dilaksanakan di Kedah sejauh 3km di Jalan Padang Sanai ke Durian Burung (K11). 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here