
Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang menyatakan isu lencongan di Jalan Meru (FT3217) berpunca kewujudan tokong dan kuil yang terletak dalam kawasan laluan (Right of Way, ROW) projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Menurut kenyataan media, JKR Klang menjelaskan terdapat rekabentuk baharu jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (hadapan) dan kuil (belakang) tersebut.
“Bagaimanapun pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja.
“Laluan berkenaan adalah Jalan Persekutuan (FT3217), Jalan Meru, Klang dan diserahkan penyenggaraan ke pihak LRT3 pada 2018 bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan LRT3 dan naiktaraf jalan,” menurut kenyataan.
Tambahnya lagi, penerimaan jalan oleh JKR hanya boleh dilaksanakan setelah audit kriteria penerimaan jalan dilaksanakan oleh pihak Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia.