
Sebuah video tular di media sosial memaparkan sebuah alat baharu yang dipercayai bakal digunakan bagi pelaksanaan sistem subsidi bersasar petrol RON95.
Rakaman video 2 minit 44 saat itu mempamerkan seorang wanita menunjukkan cara penggunaan mesin tersebut.
Berdasarkan demonstrasi yang ditunjukkan, mesin tersebut menyediakan tiga akses menu.
Pekerja stesen akan memilih menu ‘accessibility’ pada skrin terminal. Seterusnya, memasukkan MyKad untuk diimbas. Proses ini adalah langkah pertama untuk menyemak kelayakan subsidi bersasar.
Selepas MyKad diimbas, sistem akan memaparkan status kelayakan melalui kod warna:
- Jika keluar paparanberwarna biru, ini bermaksud pengguna layak untuk mengisi petrol bersubsidi.
- Jika paparan berwarna merah kuota subsidi sudah habis.
- Ralat dipaparkan bagi yang tidak layak.
Setelah status kelayakan disahkan, proses diteruskan ke tempahan dan pemilihan nombor pam minyak yang akan digunakan.
Langkah terakhir adalah pembayaran yang mana pengguna diberi pilihan untuk membuat pembayaran sama ada melalui kad (debit/kredit) atau tunai. Setelah pembayaran selesai, resit akan dikeluarkan sebagai bukti transaksi.
Kerajaan sebelum ini mengesahkan pelaksanaan subsidi RON95 secara bersasar dengan harga disasarkan RM1.99 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.