Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan sistem kawalan bagi menangani isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi termasuk pembelian oleh warga asing.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sistem tersebut kini dalam fasa ujian sebelum dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.
“Kita sedar apa yang dikhuatiri adalah warga asing mendapat akses kepada barang kawalan seperti minyak masak, gula, petrol dan banyak lagi.
“Setiap satu barang kawalan ini ada masalah unik masing-masing, tetapi setakat ini bekalan gula mencukupi, jadi ia tak terlalu menjadi isu.
“Namun untuk minyak masak paket, ia jadi isu kepada rakyat Malaysia kerana mereka susah nak akses apabila warga asing yang membelinya.
“Jadi apa KPDN sedang lakukan adalah membangunkan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) merangkumi semua rantaian termasuk pemborong, peruncit hingga kepada pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mewakili KPDN di Dewan Negara pada Rabu.
Tambahnya, pengguna mesti mengimbas kod QR dan hanya dibenar membuat pembelian apabila disahkan warganegara.
Menurutnya lagi, aplikasi sama akan turut digunakan bagi pembelian petrol.
“Insya-ALLAH tak lama lagi bagi pembelian RON95, akan guna pendekatan sama iaitu mesti ada semakan kad pengenalan di stesen minyak.
“Ini perancangan kita akan datang dalam usaha melindungi barang kawalan subsidi supaya tak mengalir kepada warga asing dengan setiap satu daripadanya (barang kawalan) ini ada strategi (pelaksanaan) berbeza,” katanya.