
Jamil Ghani berkata, di bawah kerangka kontrak perkongsian pengeluaran, sekurang-kurangnya 70 peratus hasil projek diperuntukkan bagi menampung pemulihan kos, manakala 10 peratus dikongsi antara kerajaan persekutuan dengan negeri dalam bentuk royalti minyak.
“Pengawal selia O&G negara Pengurusan Petroleum Malaysia amat tegas dalam hal ini. Maklumat tersebut boleh disemak oleh rakyat Malaysia sendiri secara dalam talian.
“Paling hebat, Petronas hanya meraih antara 10 hingga 20 peratus daripada keuntungan medan O&G.
“Keuntungan ini juga perlu dikongsi bersama rakan kongsi Petronas seperti Shell, dan sebahagiannya disalurkan semula kepada Putrajaya menerusi dividen, cukai pendapatan serta duti eksport bagi tujuan pembangunan negara.
“Justeru, 95 peratus itu bukanlah pendapatan mutlak Petronas, sebaliknya suatu pemesongan fakta yang tidak mengambil kira pemulihan kos dan pulangan fiskal kepada perbendaharaan negeri mahupun persekutuan,” jelasnya.
Jamil mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas peguam besar negeri JC Fong yang dilaporkan mendakwa Petronas mengaut 95 peratus hasil O&G Sarawak sepanjang 50 tahun lalu, manakala negeri tersebut hanya menerima RM49 bilion dalam tempoh hampir lima dekad.
Menurut Jamil, Sarawak sememangnya menerima royalti minyak berjumlah RM49 bilion, dividen daripada projek-projek Petronas sebanyak RM28.6 bilion, dan cukai jualan negeri mencecah RM18.66 bilion sejak industri O&G negara mula beroperasi.
Di samping itu, Petronas menyalurkan pelaburan bernilai RM280 bilion bagi prasarana huluan, mencipta peluang pekerjaan, rantaian bekalan serta kegiatan hiliran.
“Wajarlah untuk turut diperakui pelaburan dan prasarana huluan tambahan bernilai RM280 bilion yang dibawa oleh Petronas kepada industri O&G Sarawak,” katanya.
Tambahnya, angka-angka lain yang ditularkan oleh pihak tertentu juga meragukan.
“Seorang senator Sarawak baru-baru ini mendakwa kekayaan minyak Sarawak berjumlah RM1 trilion telah disalurkan kepada kerajaan persekutuan,” katanya merujuk Senator Robert Lau.
“Sumbangan Sarawak kepada persekutuan tidak boleh disangkal. Namun, jumlah keseluruhan sumbangan O&G nasional oleh Petronas sejak 1974, termasuk dividen, cukai dan royalti berjumlah RM1.5 trilion.
“Kenyataan bahawa Sarawak sahaja menyumbang dua pertiga daripada angka tersebut adalah keterlaluan dan seolah-olah menidakkan sumbangan daripada Terengganu, Sabah dan Kelantan,” katanya.