
Pengguna Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) yang masih dalam perjalanan pulang ke kampung halaman pada pagi 1 Syawal tahun ini boleh menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau MADANI di hentian rehat dan rawat (R&R) Seremban arah selatan, yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 pagi.
Pengumuman tersebut dikongsi menerusi akaun TikTok PLUS Malaysia, sekali gus menjadikannya inisiatif Solat Aidilfitri pertama di lebuh raya Malaysia yang disediakan untuk pengguna lebuh raya yang dijangka memulakan perjalanan pulang sejak malam atau awal pagi Hari Raya.
Solat sunat Aidilfitri itu akan diadakan di surau berkenaan dengan kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta tertakluk kepada garis panduan pihak berkuasa agama negeri.

Menurut kenyataan media, inisiatif itu tercetus selepas Surau MADANI R&R Seremban mencatat sejarah sebagai surau pertama di kawasan rehat lebuh raya Malaysia yang mendapat kebenaran mendirikan solat Jumaat.
“Ketika solat Jumaat pertama diadakan di surau tersebut pada Julai tahun lalu, hampir 500 jemaah hadir terdiri daripada pengguna lebuh raya, pekerja R&R serta penduduk sekitar.
“Surau MADANI di R&R Seremban mampu menampung kira-kira 150 jemaah lelaki pada satu masa dan dilengkapi kemudahan seperti ruang solat, mimbar, mihrab serta sistem pembesar suara bagi menyokong aktiviti ibadah di kawasan persinggahan lebuh raya tersebut,” jelasnya.
Bagi solat sunat Aidilfitri, pengurusan R&R dijangka menyediakan ruang solat tambahan di kawasan sekitar surau bagi menampung jumlah jemaah yang mungkin lebih tinggi berbanding hari biasa memandangkan trafik lebuh raya yang meningkat pada musim perayaan.
Pengguna lebuhraya, Azri Hamdan, 35 berkata kemudahan tersebut dilihat sebagai satu alternatif yang praktikal ketika trafik tinggi pada musim perayaan.
“Kalau trafik perlahan atau tak sempat sampai kampung, sekurang-kurangnya kami masih boleh berhenti di R&R untuk menunaikan solat raya. Ia memudahkan musafir seperti kami,” katanya.

































