Utama Berita Automotif Honda bangunkan motosikal underbone berkuasa elektrik lebih mampu milik

Honda bangunkan motosikal underbone berkuasa elektrik lebih mampu milik

7

Satu masalah utama yang menghalang pemilikan motosikal elektrik ialah harga jualan yang masih di luar kemampuan majoriti pengguna.

Honda sebelum ini cuba mengubah naratif itu dengan pelancaran WN7 di Eropah dan Jepun.

Namun, model tersebut masih belum mampu mengatasi cabaran utama iaitu harga jualan yang mahal dan prestasi lebih rendah berbanding motosikal berenjin setara.

Namun, satu paten baharu menunjukkan Honda sedang berusaha membangunkan motosikal elektrik yang lebih ringkas dan harga lebih mampu milik.

Paten tersebut memaparkan reka bentuk mirip motosikal kos rendah menggunakan rangka backbone motosikal ICE sedia ada, motor elektrik yang dipasang pada lokasi enjin/transmisi asal, serta dua pek bateri yang dipasang pada sisi rangka.

Fokus utama paten ini ialah sistem pemasangan bateri yang mudah ditanggalkan namun motosikal masih lagi selamat daripada menjadi sasaran pencuri.

Pek bateri tersebut dilindungi dalam sangkar yang turut berfungsi sebagai crash bar sekiranya berlaku kemalangan.

Selain motor dan bateri, hampir tiada komponen elektronik moden lain, di mana hanya ada paparan ringkas atas ‘tangki’ yang menunjukkan tahap bateri.

Sementara sambungan elektrik pula menggunakan palam manual asas.

Meter kelajuan menggunakan tetapan analog dengan kabel yang dihubungkan daripada roda depan.

Sistem brek pula menggunakan tetapan dram yang dihubungkan melalui kabel, sama macam motosikal asas yang lain.

Secara keseluruhannya, kapcai elektrik ini direka supaya kosnya tidak jauh beza dengan motosikal ICE bawah julat harga US$1,000 (RM3,922).

Adakah motosikal elektrik ini mampu menjadi satu penyelesaian kepada peningkatan harga bahan api pada masa kini?

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here