
Sime Darby Beyond Auto – rakan runcit sah bagi jenama BYD di bawah Sime Motors – secara rasmi memperkenalkan BYD Mansion Macalister, destinasi mobiliti elektrik baharu yang unik di Pulau Pinang.
Terletak di Jalan Macalister, Georgetown, bangunan berusia lebih satu abad itu menjadi mercu tanda komersial komuniti setempat menempatkan pelbagai perniagaan dan pejabat.

Melalui proses pemulihan teliti serta penggunaan semula adaptif, bangunan warisan tersebut kini diubah menjadi bilik pameran berkonsepkan warisan BYD pertama di Malaysia.
Usaha pemulihan ini mengekalkan dan menghormati karakter seni bina asal bangunan, sambil memperkenalkan persekitaran runcit moden dengan penampilan masa depan mobiliti elektrik.

Kini dikenali sebagai BYD Mansion Macalister, bangunan ini membuka lembaran baharu sebagai simbol gabungan antara seni bina warisan dan inovasi moden.
Terletak di atas tanah seluas 26,994 kaki persegi dengan keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi, hartanah ini direka semula sebagai destinasi automotif butik, berbeza daripada konsep pusat jualan kenderaan konvensional.

Ruang pameran menampilkan empat kenderaan BYD terpilih, dipersembahkan seperti karya seni dalam suasana galeri.
Pengalaman pelanggan turut dipertingkatkan dengan:
- Ruang konsultasi gaya lounge
- Bilik penyerahan kenderaan peribadi untuk pengalaman serahan yang lebih eksklusif

Pendekatan ini memberikan pengalaman membeli kenderaan yang lebih santai, peribadi dan premium kepada pelanggan.
Pusat servis lengkap dan hab pengecas EV
Selain sebagai showroom, BYD Mansion Macalister juga berfungsi sebagai destinasi pemilikan kenderaan elektrik yang lengkap.

Pusat servis di lokasi ini turut dilengkapi dengan 5 ruang kerja servis, 1 ruang penjajaran roda dan 3 ruang penerimaan servis.
Kemudahan ini membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan selepas jualan dengan lebih mudah dalam satu lokasi yang sama.

Bagi menyokong perkembangan ekosistem EV di Pulau Pinang, premis ini turut menempatkan hab pengecas bandar, lengkap dengan 1 unit pengecas pantas DC 60 kW dan 7 unit pengecas AC.
Kemudahan ini memberikan akses pengecasan lebih mudah kepada pemilik kenderaan elektrik di kawasan bandar.

Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, BYD Mansion Macalister adalah pencapaian penting dalam evolusi pengalaman runcit automotif.
Beliau menjelaskan, transformasi bangunan bersejarah ini bukan sahaja memelihara sebahagian warisan seni bina Pulau Pinang, malah mewujudkan ruang yang membolehkan pelanggan merasai masa depan mobiliti elektrik secara lebih dekat.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pembukaan lokasi ini menandakan satu lagi langkah penting dalam perkembangan jenama BYD di Malaysia, selain mendekatkan jenama tersebut dengan komuniti setempat.
Menurutnya, bilik pameran menggabungkan pengalaman pelanggan premium, inovasi teknologi serta sentuhan budaya Malaysia, sekali gus mencerminkan identiti dan kemajuan pasaran tempatan.
Pembukaan BYD Mansion Macalister juga menjadi satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama antara Sime Darby Beyond Auto dan BYD yang bermula pada Disember 2022.

Kini, Sime Darby Beyond Auto mengendalikan rangkaian pusat jualan dan servis BYD yang semakin berkembang di seluruh Malaysia, termasuk di Ara Damansara, TREC Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Tebrau, Johor.
Prestasi rangkaian ini turut diiktiraf di peringkat nasional apabila BYD Penang baru-baru ini dinobatkan sebagai Best BYD Dealer in Malaysia, manakala Sime Darby Beyond Auto meraih 13 daripada 27 anugerah pada majlis BYD Dealer Conference & Awards Night tahun ini.


