
Triumph Motorcycles hari ini mengumumkan beberapa naik taraf kecil untuk sportbike Daytona 660 (2026).
Antara perubahan penting ialah sistem suspensi boleh laras yang kini didatangkan standard.
Daytona 660 ini dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP 41 mm dengan larasan mampatan dan lantunan terus pada penutup fork, sementara penyerap hentak belakang Showa dengan larasan pra-beban terus dikekalkan.
Selain itu, jentera ini hadir dengan ciri Triumph Shift Assist, atau dalam bahasa mudahnya sistem penukaran gear pantas dua arah yang sebelum ini hanya ditawarkan sebagai aksesori tambahan.
Aspek tunggangan ditambah baik dengan tayar baharu Metzeler Sportec M9 RR bagi menggantikan Michelin Power 6.
Tayar baharu ini menawarkan kadar cengkaman basah yang lebih baik, jangka hayat yang lebih panjang dan boleh digunakan dalam litar.
Penampilan sporti Daytona 660 diserikan dengan dua warna baharu (Aluminium Silver & Cosmic Yellow), grafik yang lebih garang, aksen Diablo Red, serta pedal brek aluminium anodized baharu.
Di pasaran US, Triumph Daytona 660 (2026) dijual dengan harga bermula US$9,395 (RM36,744), naik $200 berbanding model tahun 2025.

































