Utama Berita Automotif #KLIMS2026: Proton e.MAS 7 Premium Plus, jarak sehingga 450km, rebat RM7 ribu!

#KLIMS2026: Proton e.MAS 7 Premium Plus, jarak sehingga 450km, rebat RM7 ribu!

16

PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, memperkenalkan Proton e.MAS 7 Premium Plus baharu pada Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026).

Pengenalan varian terbaharu itu menandakan satu lagi langkah dalam evolusi EV nasional pertama Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama EV nombor satu di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kejayaan Proton e.MAS sejak pengenalan EV nasional pertama Malaysia pada tahun 2024 sehingga menjadi jenama EV nombor satu negara hari ini adalah hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, berpandukan semangat Kuasa e.MAS, syarikat akan terus komited memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk beralih kepada mobiliti elektrik dengan yakin.

Proton e.MAS 7 Premium Plus, Kuasa e.MAS, Memacu Malaysia ke Hadapan

Pengenalan Proton e.MAS 7 Premium Plus berlangsung seiring dengan pameran mobiliti elektrik terbesar Proton e.MAS setakat ini di KLIMS 2026 yang membawa tema Kuasa e.MAS, Memacu Malaysia ke Hadapan.

Pameran tersebut mengetengahkan ekosistem elektrifikasi Proton e.MAS yang semakin berkembang menerusi teknologi canggih, penyelesaian pemilikan dan rangkaian model yang lebih pelbagai.

Lima teknologi utama yang dipamerkan ialah:

  • Global Modular Architecture (GMA)
  • Teknologi Cell-to-Body (CTB)
  • Bateri AEGIS Short Blade
  • Sistem pacuan elektrik 11-dalam-1
  • Teknologi Dedicated Hybrid Powertrain

Selain teknologi tersebut, Proton e.MAS turut mempamerkan rangkaian model elektrifikasi yang terdiri daripada:

  • Proton e.MAS 5
  • Proton e.MAS 7
  • Proton e.MAS 7 PHEV

Pengenalan varian baharu ini hadir ketika momentum pasaran jenama itu terus berkembang.

Proton e.MAS 7 PHEV kini merupakan model PHEV nombor satu di Malaysia dengan 2,936 unit penghantaran setakat tahun ini, manakala lebih 23,600 kenderaan Proton e.MAS kini berada di atas jalan raya di seluruh negara.

Jarak pemanduan lebih jauh

Proton e.MAS 7 Premium Plus menerima sistem bateri yang dipertingkat menerusi penggunaan bateri AEGIS Short Blade berkapasiti 68.39kWj.

Bateri yang lebih besar itu membolehkannya menawarkan anggaran jarak pemanduan sehingga 450km (kitaran WLTP), sekali gus memberikan kebebasan lebih tinggi untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Menurut PRO-NET, peningkatan ini membantu menangani salah satu aspek penting dalam penggunaan EV iaitu keyakinan terhadap jarak pemanduan.

Ciri utama sistem bateri dan pengecasan:

  • Bateri AEGIS Short Blade 68.39kWj
  • Jarak pemanduan WLTP sehingga 450km
  • Pengecasan pantas DC sehingga 115kW
  • Pengecasan 30 peratus hingga 80 peratus dalam kira-kira 20 minit

Walaupun menggunakan bateri berkapasiti lebih besar, keupayaan pengecasan pantas DC masih dikekalkan sama seperti varian Premium.

Keselesaan dipertingkat untuk pemandu dan penumpang

Selain peningkatan jarak pemanduan, Proton e.MAS 7 Premium Plus turut menerima beberapa ciri baharu yang memfokuskan kepada keselesaan pemandu dan penumpang hadapan terutama ketika perjalanan jauh.

Antara penambahbaikan yang ditawarkan ialah:

  • Tempat duduk hadapan berkembar dengan fungsi urutan
  • Tempat duduk penumpang hadapan berkuasa dengan pelarasan empat hala
  • Fungsi memori untuk tempat duduk penumpang hadapan
  • Penyandar kaki untuk penumpang hadapan seperti beberapa pasaran luar

Pakej Power Pack Plus

Bersempena pengenalan Proton e.MAS 7 Premium Plus, pelanggan turut menerima pakej Power Pack Plus yang merangkumi pelbagai manfaat tambahan.

  • Power Exchange: Yuran pemprosesan tukar beli percuma dan insentif tambahan RM5,000 khas untuk pemilik Proton sedia ada
  • Power Home: Pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500
  • Power Plus: Adaptor V2L percuma bernilai RM500
  • Power Online: Data internet tanpa had selama lima tahun bernilai RM1,800
  • Power Thru: Jaminan kenderaan jarak tanpa had selama enam tahun
  • Jaminan bateri dan komponen bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000km
  • Tonneau cover percuma

PRO-NET menyatakan pakej tersebut ditawarkan untuk tempoh terhad dan tertakluk kepada terma serta syarat.

Harga Proton e.MAS 7, rebat RM7,000!

Harga atas jalan tanpa takaful bagi Proton e.MAS 7 adalah seperti berikut:

Semenanjung Malaysia

  • Premium Plus: RM125,800
  • Premium: RM119,800
  • Prime: RM103,800

Sabah dan Sarawak

  • Premium Plus: RM128,800
  • Premium: RM122,800
  • Prime: RM106,800

Apa yang lebih menarik, PRO-NET turut menawarkan rebat pelancaran khas RM7,000 dalam tempoh terhad.

Harga selepas rebat pelancaran khas:

Semenanjung Malaysia

  • Premium Plus: RM118,800
  • Premium: RM112,800
  • Prime: RM96,800

Sabah dan Sarawak

  • Premium Plus: RM121,800
  • Premium: RM115,800
  • Prime: RM99,800

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here