
Mitsubishi Motors terus mendedahkan maklumat baharu mengenai Mitsubishi Pajero serba baharu, kali ini dengan memberi fokus kepada aspek keupayaan off-road, keselesaan pemanduan dan teknologi pacuan semua roda.
Sebelum ini, Mitsubishi mengesahkan Pajero generasi baharu dibangunkan menggunakan casis rangka tangga (ladder frame) yang sama seperti Triton.
Bagaimanapun, SUV itu menerima talaan khusus pada sistem suspensi dan kabin bagi memenuhi peranannya sebagai model SUV utama jenama tersebut.
Menerusi kemas kini terbaharu, Mitsubishi menjelaskan pembangunan casis dan suspensi itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan meredah laluan lasak.
Malah, ia turut menawarkan tahap keselesaan yang lebih tinggi ketika dipandu di atas jalan raya.
Gabungan Keupayaan Off-Road dan Keselesaan
Pajero baharu menggunakan casis rangka tangga yang sangat kukuh dan tahan lasak, dipadankan dengan sistem suspensi yang direka untuk menawarkan cengkaman tinggi di pelbagai permukaan.
Gabungan itu membolehkan SUV tersebut meredah laluan berbatu, jalan tidak rata dan permukaan dengan hentakan besar tanpa menjejaskan kestabilan.
Pada masa sama, talaan suspensi turut mengurangkan pergerakan badan kenderaan serta getaran ketika melalui jalan yang rosak atau tidak sempurna.
Hasilnya, Pajero bukan sahaja lebih selesa dipandu dalam perjalanan jauh, malah memberikan keselesaan kepada semua penumpang tanpa mengorbankan karakter sebuah SUV off-road sejati.
Dilengkapi Sistem Super-All Wheel Control (S-AWC)
Bagi meningkatkan lagi prestasi pemanduan, Pajero baharu turut dilengkapi sistem Super-All Wheel Control (S-AWC).
Sistem kawalan dinamik kenderaan bersepadu itu mengoptimumkan pengendalian, kestabilan serta prestasi pacuan di pelbagai permukaan jalan dan keadaan cuaca.
Teknologi tersebut membantu memastikan pemandu menikmati kawalan yang lebih tepat sama ada ketika memandu di atas jalan berturap, laluan berbatu, permukaan berlumpur atau ketika cuaca buruk.
Multi Meter Kembali Dengan Paparan Digital
Pada penghujung Jun lalu, Mitsubishi turut memperkenalkan satu lagi ciri ikonik yang kembali pada Pajero baharu iaitu Multi Meter, kini dalam bentuk paparan digital moden.
Paparan tiga meter digital itu diinspirasikan daripada model Pajero terdahulu dan direka khusus untuk membantu pemandu ketika aktiviti off-road.
Antara maklumat yang dipaparkan termasuk:
- Ketinggian
- Arah kompas
- Suhu persekitaran
- Sudut condong hadapan dan belakang (pitch)
- Sudut olengan kiri dan kanan (roll)
- Agihan tork kiri dan kanan
Semua data dipaparkan secara masa nyata bagi membantu pemandu memantau keadaan kenderaan serta permukaan jalan ketika melalui laluan mencabar.
Di antaranya pendakian curam, jalan gunung berliku, trek hutan sempit, laluan berbatu dan kawasan berlumpur.
Debut Global Musim Luruh Ini
Mitsubishi sebelum ini mengesahkan Pajero baharu akan diperkenal pada musim luruh 2026 (September – November) sekali gus menandakan kemunculan semula model ikonik itu selepas dihentikan di pasaran global pada 2021.
SUV berkenaan akan menjadi model utama dalam strategi pertumbuhan Mitsubishi Motors, selain menjadi asas kepada pembangunan keluarga model Pajero pada masa hadapan.
Setakat ini, Mitsubishi masih belum mendedahkan spesifikasi enjin, dimensi atau ruang dalaman, namun syarikat dijangka berkongsi lebih banyak maklumat menjelang pelancaran rasminya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.


































