
GWM Malaysia memperkukuh kedudukannya di pasaran tempatan apabila model pemasangan tempatan, GWM WEY G9 Hi4 PHEV, terpilih menyertai program penilaian Proof of Concept (POC) Kementerian Kewangan (MOF).
Kenderaan utiliti pelbagai guna (MPV) hibrid plug-in (PHEV) itu diserahkan kepada MOF menerusi kerjasama dengan SPANCO Sdn Bhd.
Majlis penyerahan dihadiri Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, MOF, Datuk Alan Abdul Rahim, bersama pegawai kementerian dan wakil SPANCO.
Penyertaan WEY G9 untuk program PoC itu disifatkan sebagai satu pencapaian penting buat GWM Malaysia, selaras dengan usaha syarikat untuk terus mengembangkan operasi dan memperkukuh penglibatan dalam industri automotif negara.

Selain fokus kepada pemasangan tempatan, GWM Malaysia giat memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan, di samping membawa masuk teknologi global dan kepakaran dalam bidang kenderaan tenaga baharu (NEV) ke pasaran Malaysia.
WEY G9 Hi4 PHEV adalah MPV premium tenaga baharu utama GWM yang dibangunkan dengan konsep First Class for All, yang menekankan aspek keselesaan premium, teknologi pintar dan ciri keselamatan tahap tinggi.
Menurut GWM Malaysia, peluang untuk model itu dinilai dalam penggunaan sebenar armada kerajaan adalah pengiktirafan terhadap teknologi ditawarkan, selain membuka ruang kepada syarikat untuk meningkatkan pelaburan dan memperluas kehadirannya di Malaysia.
Dalam masa sama, syarikat turut merakamkan penghargaan kepada MOF dan SPANCO atas kerjasama diberikan dalam menjayakan program penilaian berkenaan.






























