
Rata-rata kenderaan elektrik termasuklah motosikal dan skuter tidak memerlukan binaan transmisi yang kompleks.
Hanya pulas pendikit, atau tekan pedal pendikit pada kereta elektrik, dan anda boleh menikmati daya kilas penuh seawal sifar rpm.
Namun, ada juga pihak yang mahu mengekalkan keseronokan tunggangan dengan membangunkan kotak gear khas untuk kegunaan kenderaan elektrik.
Syarikat pemula motosikal elektrik dari India, Matter memperlihatkan model motosikal elektrik yang dilengkapi dengan kotak gear empat-kelajuan.
Matter Aera menampilkan kotak gear manual empat kelajuan Hypershift, direka untuk menambah baik aspek kecekapan, tahap kejituan pendikit, dan kesesuaian untuk pelbagai keadaan jalan raya.
Ia menawarkan sehingga tiga mod tunggangan, dan sehingga 12 tetapan tunggangan yang berbeza yang boleh ditetapkan oleh pengguna.
Matter Aera dikuasakan oleh motor elektrik 14 hp dan 520 Nm, membolehkan pecutan 0-40 km/j dalam masa 2.8 saat.
Aspek tunggangan dibantu dengan sistem brek cakera depan dan belakang, serta sistem ABS.
Pek bateri 5 kWh pula membenarkan jarak tunggangan sejauh 172 km untuk sekali cas penuh.
Antara ciri lain termasuklah skrin sentuh tujuh inci yang menyokong sistem navigasi, muzik, analisis tunggangan dan kemas kini over-the-air, bantuan parkir, serta aplikasi MatterVerse dengan fungsi tambahan seperti kunci jarak jauh, data masa nyata, geo-lokasi, dan beberapa tetapan yang boleh diubah.