
MINI Aceman ialah satu model serba baharu pada generasi terkini, ia mempunyai rupa SUV seperti Countryman tetapi dengan gaya lebih stailo dan unik.
Kali ini, MINI Malaysia membawakan Aceman JCW EV, versi elektrik berprestasi tinggi dan sporti untuk pasaran negara kita.
Anda boleh tahu ia versi John Cooper Works (JCW) dari kemasan Chili Red pada bahagian seperti bumbung, perumah cermin sisi, strip bonet, dan angkup brek. Bahagian dalam juga diberikan kemasan hitam dan merah untuk suasana sporti.
MINI JCW Aceman EV ini juga dikemaskan dengan pakej aerodinamik seperti spoiler menyerlah dan skirt sisi, selain rim JCW Lap Spoke dwi-tona bersaiz 19-inci.
Aceman EV dibekalkan dengan pek bateri 54.2kWh sama seperti MINI JCW EV, tetapi dengan saiznya yang lebih besar, Aceman memerlukan 6.4 saat untuk memecut dari 0 ke 100.
Pek bateri ini menyalurkan kuasa ke motor elektrik di gandar depan dengan output 258hp dan 350Nm tork, dan Aceman ini boleh dipandu sehingga 355km bagi setiap cas penuh.
Ia memerlukan hanya 30 minit untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas DC. Jika menggunakan AC, masa diperlukan ialah 5 jam 15 minit dari 0 hingga 100 peratus.
Dari segi teknologi, MINI JCW Aceman dilengkapi dengan Remote 3D View, MINI Digital Key Plus, MINI Connected Package, Spike Intelligent Personal Assistant Avatar, dan MINI Navigation Extended.
MINI JCW Aceman boleh dimiliki dengan harga RM233,888. Tiga warna ditawarkan iaitu Legend Grey, Nanuq White, dan Midnight Black.