
Hyundai Motor Asia Pacific melancarkan kempen serantau bertemakan Hyundai, Driving ASEAN as One sebagai persediaan menjelang kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara, Hyundai Cup™ 2026, yang akan berlangsung pada 24 Julai hingga 26 Ogos depan.
Sebagai rakan penaja utama kejohanan, Hyundai berhasrat menghubungkan peminat dan komuniti di 11 negara ASEAN melalui semangat bola sepak yang dikongsi bersama.
Kempen itu turut mencerminkan aspirasi global syarikat menerusi visi Progress for Humanity yang menekankan kemajuan dan hubungan antara masyarakat.
Menurut Hyundai dalam kenyataan, kempen itu meraikan keunikan rantau Asia Tenggara yang terdiri daripada pelbagai budaya, bahasa dan latar belakang.
Melalui bola sepak, Hyundai percaya sukan mampu menjadi platform penyatuan merentasi sempadan negara serta mengeratkan hubungan antara rakyat ASEAN.
Menyokong kempen tersebut ialah model MPV Hyundai STARGAZER yang dipilih sebagai model utama sepanjang Hyundai Cup™ 2026.
Kenderaan itu direka dengan penekanan terhadap keselesaan, ruang kabin luas, hubungan kekeluargaan serta mobiliti harian, sejajar dengan tema penyatuan yang dibawa menerusi kempen Driving ASEAN as One.
Hyundai menjelaskan, STARGAZER melambangkan peranan sebuah kenderaan yang bukan sahaja membawa penumpang ke destinasi, malah menghubungkan keluarga dan komuniti melalui perjalanan yang bermakna, seperti bola sepak menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Menjelang dan sepanjang kejohanan berlangsung, pelbagai aktiviti bakal dianjurkan termasuk Jelajah Trofi Hyundai Cup™ 2026, program interaktif di stadium pada hari perlawanan, pemberian hadiah eksklusif kepada peminat serta sesi pandu uji kenderaan Hyundai di pasaran-pasaran ASEAN yang terlibat.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti khusus di setiap negara akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dengan gabungan sukan dan mobiliti, Hyundai berharap kempen ini mampu memperkukuhkan hubungan antara rakyat ASEAN sambil meraikan semangat bola sepak yang menjadi kebanggaan rantau ini.






























