
Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran di Klang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8.30 malam melibatkan sebuah Toyota Avanza yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Jalan Bukit Kerayong menuju ke Jalan Banting, Pandamaran sebelum gagal mengawal kenderaan lalu melanggar struktur batu di bucu sebuah rumah di tepi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa terbalik secara mengiring di bahu longkang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, pihaknya turut mengesan satu video tular di media sosial yang memaparkan beberapa individu memecahkan cermin dan menolak sebuah kenderaan susulan kejadian tersebut.
“Tindakan orang awam yang cuba mengalihkan kenderaan berkenaan menyebabkan ia terjatuh ke dalam longkang bersama mangsa,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Syahid Salahudin di talian 011-35753557 atau mana-mana balai polis berhampiran.






























