
Geely Auto memperkenalkan Geely EX5 Ultra untuk pasaran United Kingdom (UK) dan dijangka mula berada di rangkaian pengedar di sana bermula 5 Mei 2026.
Pengenalan varian Ultra di UK menyusul selepas siri model yang sama mula memasuki beberapa pasaran global utama.
Bermula pada Julai 2025, model ini diperkenalkan di China, diikuti dengan varian jarak gerak lebih jauh di Australia pada awal Mac 2026.
Menjelang penghujung Mac 2026, pasaran Thailand turut menerima varian spesifikasi tertinggi dengan kapasiti bateri yang sama sebelum tiba di UK pada bulan ini.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi
Nadi utama bagi Geely EX5 Ultra pasaran UK adalah bateri berkapasiti 68.39 kWj yang memberikan jarak pemanduan sehingga 451 km (WLTP).
Dengan jarak yang dipertingkatkan, pengguna kini lebih yakin untuk memandu ke destinasi yang lebih jauh.
Dari segi prestasi pecutan, EX5 Ultra boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh 7.6 saat dan unit motor elektrik menghasilkan tork sebanyak 320Nm.
Versatiliti dan Keupayaan Tunda
Daru segi keupayaan, EX5 Ultra memiliki keupayaan menunda beban berbrek seberat 750kg dan turut disokong Trailer Stability Assist untuk kestabilan ketika menunda beban.
Penambahan ciri ini meningkatkan kepelbagaian fungsi EX5 terutamanya untuk gaya hidup aktif dan kegunaan rekreasi.
Kelengkapan Luaran dan Dalaman
EX5 Ultra tampil dengan warna luaran baharu iaitu Rainforest Green yang diinspirasikan oleh landskap semula jadi.
Satu yang menarik, warna hijau begini atau Emerald Green ditawarkan kepada pelanggan e.MAS 7 PHEV bermula 1 April lalu.
Model asas EX5 SE sudah hadir dengan pakej teknologi dan keselamatan yang lengkap.
Ia merangkumi skrin maklumat hibur saiz 15.4 inci, kluster instrumen digital 10.2 inci, serta kamera pandangan sekeliling.
Pemandu juga boleh menggunakan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain dilindungi sistem lengkap bantuan pemandu ADAS.
EX5 Ultra mengekalkan semua kelengkapan mewah yang ada pada varian Max.
Ini termasuk papar pandu (HuD) 13.8 inci, sistem bunyi FlyMe dengan 16 pembesar suara dan bumbung suria panoramik.
Turut dilengkapi pintu belakang berkuasa, serta fungsi pengudaraan dan urutan pada kerusi hadapan.
Harga dan Tawaran di United Kingdom
Di pasaran UK, Geely EX5 ditawarkan dalam beberapa varian dengan harga berikut:
- Geely EX5 SE: £31,990 (RM171,402)
- Geely EX5 PRO: £33,990 (RM182,118)
- Geely EX5 MAX: £36,990 (RM198,192)
- Geely EX5 Ultra: £38,990 (RM208,908)
Selain itu, Geely Auto UK turut menawarkan pengecas pintar rumah Andersen 7 kW bersama pemasangan pada harga £499 (RM2,673) untuk semua pelanggan EX5.
Status Pasaran Tempatan dan Proton e.MAS 7
Setelah pasaran UK dan negara jiran menerima bateri baharu dengan jarak lebih jauh, timbul persoalan bila pula giliran pasaran tempatan?
Adakah PROTON bakal menyusun semula varian e.MAS 7 dan berapa pula harganya nanti? Sebagai rujukan, e.MAS 7 ketika ini ditawarkan dalam dua varian.
Varian pertama ialah Prime yang menggunakan bateri Aegis Short Blade 49.52 kWj dengan jarak gerak 345 km (WLTP).
Varian kedua ialah Premium yang dilengkapi bateri 60.22 kWj dengan jarak gerak 410 km (WLTP).
Dari segi harga, e.MAS 7 Prime ditawarkan pada RM99,800 manakala varian Premium pula pada harga RM115,800. Harga tersebut termasuk manfaat aluan sebanyak RM4,000.
































