
Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) melalui Unit Operasi menahan sebuah Toyota Camry selepas disyaki bertindak sebagai tonto (pengintip), pada Khamis.
Pada kejadian jam 11.05 pagi itu sedan berkenaan disyaki memantau pergerakan kenderaan JPJ ketika anggota sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan.
Menurut kenyataan, hasil pemantauan dan risikan di lokasi mendapati kenderaan tersebut dipercayai cuba menyalurkan maklumat awal kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Sehubungan itu, tindakan tegas telah diambil dengan mengeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) di bawah Seksyen 59, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan tersebut turut disita dan ditahan selama 48 jam di Depoh Sita JPJ WPKL bagi tujuan siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, tindakan sedemikian dilaksanakan bagi memastikan keselamatan anggota penguatkuasa sentiasa terpelihara serta mengelakkan sebarang gangguan terhadap operasi yang dijalankan.
JPJ WPKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang, menggagalkan atau mengganggu tugas penguatkuasaan jabatan.
“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta dengan butiran lengkap pengadu dan juga butiran lengkap aduan,” ujarnya.






























