JPJ pernah diekori lima kenderaan tonto

258

Geng tonto yang berperanan sebagai ‘mata-mata gelap’ syarikat kenderaan perdagangan dilihat seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila secara terang-terangan mengekori rapat kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

Akhbar Sinar Harian melaporkan kejadian tersebut ketika mengikuti operasi JPJ sekitar kawasan Nilai sehingga ke Jalan Labu pada Rabu.

Terdapat dua buah kenderaan pacuan empat roda yang berlegar-legar tidak jauh dari kenderaan JPJ yang memberhentikan lori, dipercayai membawa muatan berlebihan.

Salah sebuah kenderaan itu segera beredar dari lokasi sebaik menyedari gambar mereka dirakam media.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian mereka kelihatan mengekori rapat kenderaan JPJ tetapi segera membelok masuk ke sebuah kedai alat perkakasan sebaik mengetahui terdapat kenderaan JPJ lain di belakang.

JPJ PERNAH DIEKORI LIMA KENDERAAN TONTO

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengesan kehadiran tonto yang aktif di beberapa laluan strategik seperti Nilai, Pedas dan Kuala Pilah.

Menurutnya, bagi mengaburi pihak berkuasa, mereka menggunakan pelbagai jenis kenderaan termasuklah motosikal kapcai dan kereta sewa.

“Dalam sesetengah keadaan, penguatkuasa JPJ pernah diekori sehingga lima buah kenderaan tonto.

“Tonto ini akan mengekori kenderaan penguatkuasa untuk memberi amaran kepada kenderaan perdagangan ini supaya mengelak sekatan,” katanya.

Jelas beliau, mereka akan menggunakan walkie-talkie dan aplikasi mesej untuk menyalurkan maklumat operasi JPJ selain turut disertakan dengan gambar kenderaan JPJ, nombor plat dan lokasi.

Hanif Yusabra berkata, kenderaan penguatkuasa biasanya akan diekori dari belakang sebaik sahaja didapati keluar dari pejabat atau plaza tol.

“Mereka ini biasanya berada di lokasi strategik seperti plaza tol, persimpangan lebuh raya, jalan industri atau hentian lori.

“Ia bagi memudahkan mereka memerhati pergerakan penguatkuasa,” katanya.

Selain itu, beliau mengakui pernah terjadinya kes anggota diprovokasi oleh tonto ketika operasi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil.

Tambahnya, sikap agresif tonto bukan hanya dalam bentuk verbal atau ugutan saja, tetapi termasuk tindakan menghalang dan mengganggu operasi.

“Tindakan mereka yang memandu secara berbahaya, memotong atau menghalang laluan pergerakan JPJ boleh mengundang risiko keselamatan jalan raya.

“Tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan boleh dikenakan terhadap tonto kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here