
Semakan kelayakan bagi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) boleh dibuat bermula Khamis.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini menyatakan semakan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my. di Pusat Khidmat Pelanggan BUDi95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGo selepas proses verifikasi identiti selesai.
“Pengguna hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan untuk mengetahui kelayakan subsidi yang diperoleh.
“Portal ini kekal digunakan dan mulai 30 September, setiap penggunaan subsidi akan dipaparkan secara harian termasuk baki kelayakan. Had ditetapkan ialah 300 liter sebulan,” katanya.
Pengguna tidak perlu membuat pendaftaran baharu kerana semakan kelayakan dilakukan secara automatik berdasarkan nombor kad pengenalan.
Manakala di stesen minyak, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad pada pembaca di pam atau kaunter kedai untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.
Pembayaran boleh dibuat menggunakan tunai, kad kredit/debit atau e-dompet.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 September ini untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.