
Kerajaan tidak menghadkan pembelian RON95 kepada sekali sehari seperti yang dilaporkan beberapa artikel media.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merujuk beberapa laporan berkenaan yang tidak tepat mengenai pembelian RON95.
“MoF ingin menjelaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian.
“Walaupun kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, Budi Madani RON95 (BUDI95) dilaksanakan dengan hasrat memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, justeru had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September ini.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.