
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan lima jenama kenderaan mewah yang berada dalam data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan tunggakan cukai jalan hampir RM35.7 juta.
Beliau berkata berdasarkan data JPJ, Porsche mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 4,308 unit kenderaan dengan tunggakan cukai jalan berjumlah RM13.7 juta.
Empat lagi jenama melibatkan 675 unit Ferrari dengan tunggakan RM4.7 juta, diikuti Bentley (660 unit, RM7 juta), Lamborghini (372 unit, RM3.7 juta) dan Rolls-Royce (345 unit, RM6.4 juta).
“Angka ini menunjukkan masih terdapat ramai pemilik kenderaan mewah yang gagal melaksanakan tanggungjawab memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Dalam kalangan ini, memang ada orang-orang kenamaan, ada bergelar Tan Sri, orang politik, ahli erniagaan. Saya mohon mereka supaya menjalankan tanggungjawab (bayar cukai jalan),” katanya.
Loke berkata terdapat pemilik kenderaan mewah sengaja menunggu sehingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran saman RM300 lebih berbaloi berbanding memperbaharui cukai jalan yang bernilai puluhan ribu ringgit setahun.
Menurut beliau, cukai jalan kereta mewah mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun bergantung kepada jenis dan spesifikasi kenderaan.
Sebelum ini, seorang artis ditahan kerana tidak membayar cukai jalan dan memberi alasan lupa walaupaun tunggakan sudah mencecah hampir tiga tahun.
Justeru, Loke berkata jika trend sebegini masih berterusan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan lebih drastik terhadap pemilik kenderaan mewah yang masih enggan memperbaharui cukai jalan mereka.
Beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan ini, JPJ telah melaksanakan Ops Luxury dan menyita 421 kenderaan mewah didapati tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah, yang bertujuan memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa setiap pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab memperbaharui LKM serta insurans kenderaan mereka.