Dua selebriti dah jelaskan cukai jalan kereta mewah

142

Dua selebriti yang dilaporkan memiliki kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit dan culas membayar cukai jalan serta perlindungan insurans telahpun membuat pembayaran, hari ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata dua individu berkenaan sudah membuat pembayaran cukai jalan dan perlindungan insurans selepas membuat semakan rekod. 

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati kedua-dua selebriti berkenaan gagal berbuat demikian masing-masing selama setahun dan dua tahun sebelum ini.

Kenderaan mewah yang disita dalam Ops Luxury 3.0 minggu lalu

“Mereka sudah membuat pembayaran hari ini, jadi tiada tindakan yang akan diambil.

“Ini hasil berita dikeluarkan media sebelum ini yang akhirnya membawa kepada dua selebriti itu membayar cukai jalan dan perlindungan insuran kenderaan mereka.

“Alasan sama diberikan iaitu terlupa membayar cukai jalan kerana kenderaan itu jarang digunakan,” katanya.

Beliau menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya kerana tindakan akan diambil tanpa mengira status sekiranya didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

Jelasnya, JPJ akan memberi peringatan tegas kepada semua pengguna jalan raya tidak kira selebriti, ahli perniagaan atau orang biasa supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya.

“Tindakan tegas juga akan diambil tanpa memilih bulu dan pilih kasih,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, dua selebriti yang mempunyai kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit, dikesan tidak membayar cukai jalan dan perlindungan insurans.

Muhammad Kifli dilaporkan berkata, ini berdasarkan risikan dan siasatan yang dijalankan pihaknya menerusi Op Luxury yang diadakan di seluruh negara.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here