
Masih ingatkah anda pada bas berkeupayaan off-road Praetorian yang dihasilkan oleh Torsus?
Torsus Praetorian secara asasnya dibina menggunakan casis MAN TGM 4×4 dan mampu memuatkan sehingga 35 orang penumpang pada satu-satu masa.
Namun, Praetorian juga boleh menjadi sebuah asas projek yang sesuai untuk diubah menjadi sebuah motorhome yang serba lasak dan boleh menawan apa jua bentuk muka bumi.
Motorhome Praetorian Liberra ini dibangunkan menerusi kerjasama pengedar Torsus, iaitu All4Bus dan Dämmler, sebuah syarikat dengan pengalaman 80 tahun di dalam penghasilan perabot dan motorhome.
Tanpa 35 tempat duduk seperti model asal, motorhome Praetorian ini menyediakan ruang yang cukup besar untuk empat orang (termasuk pemandu).
Antara ciri yang dimuatkan pada motorhome ini termasuklah binaan dapur asing (basah atau kering), peti sejuk 90 liter, rak penyimpanan barang, tempat makan yang boleh diubah menjadi ruang tidur, serta bilik air.
Bahagian belakang pula menempatkan ruang tidur utama dengan pakej dua katil bujang yang boleh dicantumkan menjadi katil pelamin mengikut keperluan.
Bas off-road ini turut dilengkapi dengan sistem bateri lithium berkembar Victron dengan komponen penyongsang 3,000 W, panel kawalan pintar, tangki air bersih 250 liter, sistem pemanas bawah lantai, pemanas air dan udara berkuasa diesel Truma Combi dan sistem pendingin hawa Truma 2.4 kW.
Terdapat dua susun atur ruang dalaman yang ditawarkan oleh pihak Dämmler, namun ia dibantu dengan sistem komponen modular di mana setiap perkakasan dan perabot boleh dipasang dengan mudah.
Sama seperti model penumpang, Praetorian Liberra ini dikuasakan oleh enjin diesel enam silinder sebaris 285 hp dan daya kilas 1,050 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan 4WD dengan tiga pembeza kekunci, dan sistem pemisah gear on/off-road.
Kuasa itu disalurkan kepada roda yang dibaluti tayar all-terrain Michelin XZL, dibantu dengan sistem suspensi udara untuk gandar belakang.
Harga jualan asas untuk sebuah motorhome Praetorian Liberra ini bermula dari €550,000 (RM2.7 juta).