Caterham Seven 310 Encore – 25 unit sahaja edisi terakhir enjin Ford Sigma

10

Caterham melancarkan model edisi terhad terbaharunya, Seven 310 Encore, yang meraikan perpisahan terakhir enjin Ford Sigma.

Enjin ini telah menjadi nadi kepada kereta jalanan dan lumba Caterham Seven sejak pengenalannya pada tahun 2007.

Warisan Enjin Ford Sigma

Sejak penubuhan jenama Caterham pada tahun 1973, enjin empat silinder 1.6 liter Ford telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan yang dihasilkan.

Enjin Sigma, khususnya, telah terbukti sebagai salah satu unit kuasa paling popular dan tahan lama dalam sejarah panjang perkongsian Caterham dengan Ford.

Prestasi Mengagumkan

Seven 310 Encore ini direka untuk prestasi optimum, sama ada di litar lumba mahupun di jalan raya.

Ia menggunakan versi 1.6 liter enjin Sigma yang paling berkuasa, menghasilkan 152bhp pada 7,000rpm. Ini memberikan nisbah kuasa-ke-berat 281bhp/tan. 

Digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan, Encore mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.9 saat dan mencapai kelajuan tertinggi 204 km/j.

Penambahbaikan Inspirasi Perlumbaan

Untuk Encore, Caterham telah membuat beberapa penambahbaikan yang diinspirasikan daripada kejayaan Kejuaraan Caterham 310R yang turut menggunakan enjin Sigma.

Di antara ciri-ciri tersebut termasuk:

  • Roda tenaga yang diringankan (lightened flywheel)
  • Pek suspensi sport (trek hadapan dilebarkan, dengan platform pegas boleh laras dan bar anti-oleng belakang boleh laras)
  • Cakera brek hadapan berventilasi 254mm dengan kaliper omboh empat merah dan silinder induk brek lumba.

Hasilnya, Encore mampu mencatat masa pusingan di litar Nasional Donington Park yang terkenal dalam hanya 1 minit 18 saat.

Rekaan Estetik yang Menarik

Encore tidak hanya berprestasi tinggi, tetapi juga mempunyai penampilan yang menarik.

Ia ditawarkan dalam enam skema warna menyerlah, setiap satunya menggabungkan kemasan cat baharu yang unik dengan jalur badan yang tersendiri.

Warna-warna ini diinspirasikan oleh lagu-lagu pop dan rock terkenal yang dinamaka Blue Monday, Goodbye Yellow Brick Road, Green Light, Orange Crush, Back in Black, dan White Noise.

Peningkatan luaran lain termasuk muncung aero (nose con) 620, jeriji CUP, sayap hadapan gentian karbon, dan kemasan pek hitam standard untuk bingkai cermin depan, perumah lampu hadapan, dan penutup pelindung haba ekzos.

Casis juga menampilkan kemasan gun metal yang khusus, dipadankan dengan roda aloi Apollo hitam 13 inci dan tayar TOYO R888R yang sedia untuk litar.

Dalaman Premium dan Berinspirasikan Sukan Permotoran

Bahagian dalaman Seven 310 Encore menampilkan tempat duduk kulit hitam dengan jahitan kelabu gelap dan logo Encore yang unik.

Ia juga termasuk papan pemuka gentian karbon dan dail edisi Encore yang khusus.

Sentuhan yang diinspirasikan daripada sukan permotoran termasuk lampu penukaran gear, tali pinggang empat sudut dan stereng MOMO yang boleh ditanggalkan.

Sebagai sentuhan terakhir, setiap kereta dilengkapi dengan plak bernombor yang terletak di antara tempat duduk pada panel dalaman belakang.

Ketersediaan & Nilai Luar Biasa

Hanya 25 unit Seven 310 Encore akan tersedia untuk pelanggan di UK, AS, dan UAE.

Dengan harga bermula dari £39,995 (RM230,283.00), Encore menawarkan nilai wang yang luar biasa.

Walaupun dilengkapi pelbagai peralatan tambahan dan ciri-ciri khusus, harga permulaannya hanya £505 (RM2,909.00) lebih daripada Seven 360R standard.

Ini adalah peluang terakhir untuk memiliki Caterham Seven yang dikuasakan oleh enjin Ford Sigma yang ikonik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here