
Baru-baru ini, Roewe mendedahkan imej rasmi sedan terbaharu, Roewe M7 DMH.
Model itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada separuh kedua tahun ini. Menariknya, M7 DMH ini merupakan hasil sentuhan pereka hebat, Shao Jingfeng, yang sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Pereka di Rolls-Royce.
Jadi, tidak hairanlah kalau rekaannya nampak premium dan berprestij.
Reka Bentuk Luaran: Nampak Macam ‘Baby Phantom’?
Sekali imbas M7 DMH memberi gambaran kepada rekaan Rolls-Royce Phantom, terutamanya pada bahagian depan menerusi gril yang besar dengan rekaan menegak dan garis krom tebal.
Lampu utama pula nipis dan panjang, menambahkan lagi elemen moden pada wajah kereta ini.
Ada dua jenis rekaan bampar depan yang ditawarkan iaitu dengan kemasan hitam berkilat dan kemasan perak yang lebih menonjol. Rekaan lampu belakang pula berbentuk ‘Y’ terbalik yang kemudian dihubungkan dengan jalur LED melintang yang kemas bersama outlet ekzos tersembunyi.
Dimensi dan Ruang Dalaman: Cukup Besar dan Selesa
Roewe M7 DMH ini bukanlah sedan biasa-biasa, ia tergolong dalam segmen sedan bersaiz sederhana-besar.
Dengan dimensi 4,940 mm panjang, 1,890 mm (lebar), dan 1,510 mm (tinggi), serta jarak roda 2,820 mm menjanjikan ruang kabin yang luas dan selesa.
Buat masa ini, imej dalaman belum didedahkan sepenuhnya, namun dijangkakan ia akan tampil dengan paparan dwi-skrin dan rekaan konsol tengah yang minimalis, selaras dengan trend kereta moden masa kini.
Sistem Kuasa: Hybrid Plug-in yang Efisien
B7 DMH ini akan dikuasakan oleh sistem hibrid DMH generasi kelima SAIC yang merangkumi enjin 1.5 liter pengecas turbo dan motor elektrik.
Enjn menghasilkan kuasa maksimum 110hp dan tork 135Nm dan motor pula memiliki output 184hp dan tork 330Nm.
Kombinasi ini menjanjikan prestasi yang mantap dan juga kecekapan bahan api yang baik. Roewe mendakwa ia mampu mencapai jarak perjalanan gabungan sehingga 1,000 km dengan sekali cas dan tangki petrol penuh.
Manakala penggunaan elektrik penuh sejauh 150km. Lebih menarik, kecekapan bahan api hanya 4.3L/100 km (WLTC), memang menjimatkan!
Roewe M7 DMH dikatakan bakal menggantikan Roewe 950 yang sudah lama berkhidmat dalam barisan model jenama berkenaan.
Dengan rekaan yang segar, teknologi hibrid terkini, dan sentuhan magis dari bekas pereka Rolls-Royce, Roewe M7 DMH dijangka akan menjadi taruhan penting bagi syarikat untuk terus bersaing dalam pasaran yang semakin sengit.
Kita sama-sama nantikan kemunculan rasminya pada separuh kedua tahun ini!…