Ketiadaan alat ganti, pemilik EV Neta Thailand terpaksa guna bengkel ‘luar’ untuk pembaikan

101

Pemilik Neta meluahkan rasa kecewa apabila kenderaan elektrik (EV) miliknya mengalami kerosakan komponen utama, dan terpaksa menunggu berbulan tanpa jaminan ketersediaan alat ganti.

Inilah realiti pahit yang sedang dihadapi oleh sebilangan pemilik Neta V di Thailand, yang mana kenderaan mereka dipercayai tersadai akibat ketiadaan komponen kritikal seperti CDU (Charge/Discharge Unit) dan BCU (Battery Control Unit).

Pemilik yang menggunakan akaun Facebook Panachai Somchaimongkol berkongsi di grup Neta EV Thailand Club bahawa kereta miliknya dipercayai mengalami kerosakan CDU.

Setelah dihantar ke pusat servis, Panachai dimaklumkan tentang ketiadaan stok alat ganti tanpa informasi ketibaan komponen berkenaan. 

Selepas empat bulan menanti tanpa sebarang perkembangan, pemuda itu mengambil keputusan drastik untuk menghantar keretanya ke bengkel luar bagi tujuan pembaikan.

Namun, kisah itu tidak berakhir, walaupun CDU berjaya dibaiki, masalah baharu timbul apabila kenderaan tidak boleh dicas.

Pemeriksaan lanjut oleh juruteknik bengkel mendedahkan bahawa BCU Neta V miliknya mengalami kerosakkan. Ini merupakan tamparan hebat bagi pemilik, bukan sahaja kerana kos tambahan yang perlu ditanggung, malah kesukaran untuk mendapatkan alat ganti tersebut.

“Ada sesiapa yang boleh bantu carikan BCU? Bengkel kata sekarang sangat susah nak cari.

“Ada orang kata NETA ni senang je nak cari alat ganti walaupun ada masalah, tolonglah carikan, saya janji takkan mengutuk lagi.

“Kumpulan pertama bateri NMC 3 tahun 6X,XXX KM,” tulisnya.

Situasi ini merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh pemilik EV di pasaran baru, terutamanya apabila bekalan alat ganti tidak seiring dengan peningkatan jualan kenderaan.

Ketiadaan alat ganti kritikal seperti BCU, yang merupakan ‘otak’ kepada sistem pengurusan bateri EV boleh menyebabkan kenderaan tidak berfungsi sama sekali.

“Saya ingin bertanya kepada mereka yang pernah berkata ‘pakai dan buang’ atau ‘pakai dan berbaloi’. Bagaimana cara untuk saya pasrah? Saya rasa saya ada wang yang cukup, tetapi untuk buang kereta berharga setengah juta (Baht) ini, saya betul-betul tidak sanggup.

“Sekarang, kos baiki sudah setengah ratus ribu (Baht), dan saya tidak pasti sama ada ia berbaloi atau patut dibuang terus. Alat ganti pun tidak dapat dicari langsung, tidak seperti yang mereka banggakan sebelum ini kononnya mudah didapati.

“Inilah hasilnya apabila syarikat tidak dapat terus beroperasi, ia bukan sekadar mereka tutup, tetapi kesannya datang terus kepada pengguna. Ada insurans pun macam tak ada, kena baiki sendiri. Saya tak tahu bila ‘mereka’ akan faham poin ini,” kongsinya. 

PENGGUNA NETA THAILAND FAIL ADUAN KEPADA TCC

Sementara itu, minggu lalu Nation Thailand melaporkan pemilik Neta memfailkan aduan kepada Majlis Pengguna Thailand (TCC) berkaitan pelbagai masalah yang dihadapi. 

Thanapan Kongcharoen, penyelaras bagi pengguna EV Neta menyatakan bahawa kira-kira 25,000 kenderaan Neta berada di jalan raya Thailand.

Beliau berkongsi isu dihadapi bermula pada 2024 apabila syarikat induk di China berdepan masalah kewangan, yang membawa kepada gangguan ketara.

Beliau menggariskan tiga isu utama iaitu kesukaran mendaftar nombor plat putih di bawah undang-undang Thailand, kelewatan dan kekurangan alat ganti untuk tuntutan waranti, serta penutupan pusat servis atau keengganan untuk menyediakan tuntutan kepada pelanggan.

“Masalah dengan alat ganti, termasuk untuk sistem pemacu (drivetrain) dan komponen kenderaan lain, telah menyebabkan kelewatan dalam pembaikan.

“Pusat servis tidak dapat beroperasi tanpa alat ganti, kerana mereka sedang menunggu penghantaran dari syarikat induk, khususnya isu sistem pemacu telah menyebabkan kenderaan tidak dapat beroperasi, dan pelanggan terpaksa menunggu pembaikan tanpa pampasan atau ganti rugi,” ujarnya. 

Thanapan menyatakan bahawa satu lagi isu timbul daripada pusat servis yang enggan melakukan pembaikan, yang telah menjejaskan ramai pengguna.

Jelas beliau lazimnya pelanggan boleh mengakses perkhidmatan di mana-mana pusat Neta di seluruh negara.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa pusat servis telah ditutup akibat ketidakstabilan syarikat induk, pusat servis yang masih beroperasi kini dibanjiri pelanggan yang ingin melakukan pembaikan. 

Akibatnya, sebahagian pengguna menghadapi penolakan perkhidmatan sehingga memaksa ramai pengguna mencari bengkel luar, yang mana menurut syarikat akan membatalkan waranti kenderaan. 

Pengguna yang terjejas telah menggariskan tujuh tuntutan utama:

  • Menyelesaikan isu perkhidmatan selepas jualan dan menyediakan alat ganti untuk kenderaan dan sistem pemacu dalam tempoh satu bulan.
  • Melengkapkan proses pendaftaran nombor plat putih menjelang Jun.
  • Menyediakan perkhidmatan tambahan seperti yang dipersetujui, seperti pengecas dinding dan manual pengguna.
  • Menetapkan langkah-langkah pampasan bagi mereka yang terjejas akibat kekurangan alat ganti dan isu pendaftaran.
  • NETA Auto (Thailand) atau pihak yang bertanggungjawab harus menangani penutupan pusat servis, terutamanya di kawasan luar bandar untuk memudahkan akses pelanggan.
  • NETA Auto (Thailand) harus menjamin tuntutan waranti dalam tempoh satu bulan.
  • Sekiranya syarikat menghentikan operasi di Thailand, ia harus membeli semula kenderaan daripada semua pengguna dan memberi pampasan kepada mereka atas kerosakan.

Ketua Jabatan Perlindungan dan Hak TCC, Sophon Noorat mengesahkan telah menerima 69 aduan berkaitan EV Neta sejak awal 2024.

“Majlis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menguatkuasakan langkah-langkah undang-undang dan akan menghantar surat kepada Kedutaan China di Thailand mengenai kes tersebut,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here