
Proton meneruskan momentum cemerlang pada tahun 2026 apabila mencatat jualan sebanyak 16,995 unit pada bulan Mei, meskipun prestasi keseluruhan pasaran automotif negara menyusut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Proton sebagai antara pengeluar automotif paling pesat berkembang di Malaysia, didorong prestasi kukuh model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan rangkaian kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton e.MAS.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Proton menyerahkan sebanyak 84,294 unit kenderaan, meningkat 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pegangan pasaran syarikat dianggarkan mencecah 26.7 peratus ketika Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dilaporkan menguncup 1.4 peratus bagi tempoh sama.
Tonggak utama kejayaan Proton terus diterajui Proton Saga, yang sekali lagi merampas gelaran sebagai kereta terlaris di Malaysia.
Sebanyak 7,398 unit Saga diserahkan kepada pelanggan sepanjang Mei, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini kepada 37,375 unit, meningkat 41 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu membuktikan model sedan kompak nasional kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia hasil gabungan harga kompetitif, kebolehpercayaan terbukti serta kos pemilikan rendah.

Turut menyumbang kepada pertumbuhan jualan ialah Proton S70, yang mencatat 2,350 unit pada Mei. Ini adalah bulan ketiga berturut-turut model sedan segmen-C itu melepasi angka jualan 2,000 unit, menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh sebanyak 10,525 unit, meningkat 32.5 peratus.
Proton X50 terus menguasai pasaran dengan rekod 2,793 unit jualan pada Mei.
Jumlah jualan terkumpul kini mencecah 12,967 unit, meningkat 33.6 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, Proton X90 mengekalkan status SUV segmen-D terlaris di Malaysia dengan 402 unit dijual pada Mei, sekali gus meningkatkan jualan tahun ke tarikh sebanyak 38.6 peratus.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, prestasi tersebut membuktikan pengguna Malaysia terus menghargai produk menawarkan nilai tinggi, teknologi moden dan pengalaman pemilikan memuaskan.
Di samping kejayaan model ICE, rangkaian Proton e.MAS turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Proton dalam segmen elektrifikasi.
Sepanjang Mei, jumlah penghantaran gabungan model Proton e.MAS bagi pasaran domestik dan eksport mencapai 3,022 unit, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini sebanyak 14,687 unit.
Sorotan utama datang daripada Proton e.MAS 7 PHEV, yang mencatat rekod jualan bulanan tertinggi untuk bulan kedua berturut-turut dengan 1,181 unit diserahkan.
Hanya empat bulan selepas pelancarannya pada Februari lalu, model itu menjadi kenderaan hibrid palam (plug-in) PHEV terlaris di Malaysia dengan jumlah jualan terkumpul sebanyak 2,936 unit.
Pada masa sama, Proton e.MAS 7 kembali merampas kedudukan sebagai EV terlaris di Malaysia pada Mei apabila mencatat penghantaran sebanyak 958 unit, menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh sebanyak 2,394 unit.

Walaupun penghantaran Proton e.MAS 5 berkurangan kepada 883 unit berikutan persediaan pengeluaran pemasangan tempatan (CKD), ia masih kekal sebagai EV terlaris negara bagi tahun 2026 dengan 9,357 unit diserahkan kepada pelanggan setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, sambutan positif terhadap rangkaian Proton e.MAS mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap teknologi EV dan PHEV, selain menunjukkan rakyat Malaysia kini semakin terbuka terhadap pelbagai pilihan mobiliti rendah karbon.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengeluaran CKD Proton e.MAS 7 yang semakin stabil serta permulaan pemasangan tempatan Proton e.MAS 5 akan membantu memenuhi permintaan pasaran yang terus berkembang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai antara peneraju utama pasaran EV Malaysia.































