Utama Berita Automotif Tambang ECRL tular adalah palsu

Tambang ECRL tular adalah palsu

14

Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan secara rasmi sehingga kini dan sebarang kadar yang tular di media sosial hanyalah spekulasi.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam satu kenyataan berkata hantaran tular itu tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027.

Katanya, kadar tambang ECRL sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan ia kekal berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.

“Kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia setelah proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan,” katanya.

Menurut MRL, pihaknya menghargai keterujaan orang ramai terhadap ECRL dan memohon semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi melalui saluran komunikasi ECRL, MRL dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Insya-Allah, kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat serta memberikan nilai terbaik kepada pengguna,” katanya.

Jajaran ECRL sepanjang 665km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Pengoperasian ECRL bakal memendekkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam tempoh empat jam berbanding sekitar tujuh jam jika menggunakan jalan raya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here