
Satu kemalangan pelik membabitkan sebuah kereta elektrik (EV) Xiaomi SU7 berlaku di Lebuhraya 331, China pada 13 Jun lalu.
EV berkenaan dilaporkan ‘terbang’ melintasi tanah yang tinggi selepas sistem bantuan pemanduan gagal mengesan halangan di hadapan.
Ketika kejadian, pemandu wanita tersebut mengaktifkan sistem Lane Centering Control (LCC) dan difahamkan dia tidak memberikan tumpuan sepenuhnya pada jalan raya ketika sistem itu beroperasi.
Kronologi Kejadian: Sistem ADAS Gagal Berfungsi?
Menurut laporan portal Sina, insiden berlaku selepas Xiaomi SU7 berkenaan melepasi sebuah selekoh lalu terdapat timbunan tanah yang besar di tengah laluan tersebut.
Meskipun halangan itu jelas kelihatan, sistem pemanduan pintar SU7 berkenaan dikesan langsung tidak memperlahankan kenderaan, malah fungsi Brek Kecemasan Autonomi (AEB) juga gagal diaktifkan.
Pemandu wanita itu mengakui sudah terlambat untuk dia menekan brek secara manual sebaik sahaja menyedari kehadiran timbunan tanah berkenaan.
Berdasarkan rakaman video yang tular, halangan tanah tersebut sebenarnya boleh dilihat dengan jelas dari jarak jauh dan pemandu sepatutnya mempunyai masa yang cukup untuk bertindak balas.
Akibat kegagalan sistem dan kelekaan pemandu, EV tersebut merempuh busut tanah pada kelajuan tinggi sebelum melambung ke udara.
Impak rempuhan yang kuat itu menyebabkan bahagian bampar hadapan tercabut sepenuhnya, sebahagian daripada fender hadapan dan pelindung bawah badan rosak teruk serta beg udara bahagian hadapan meletup.
Meskipun bahagian hadapan kereta mengalami kerosakan struktur yang sangat teruk, sistem keselamatan pasif Xiaomi SU7 terbukti berfungsi dengan sangat cemerlang. Pemandu dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan, manakala tiada sebarang tanda asap atau kebakaran dikesan pada pek bateri utama.
Jalan Belum Buka, Hanya Ikut Navigasi

Ketika pihak polis trafik mengendalikan kes tersebut, mereka memaklumkan kepada pemandu bahawa laluan lebuh raya berkenaan sebenarnya masih belum dibuka secara rasmi kepada orang awam.
Bagaimanapun, pemandu tersebut menyatakan hanya mengikuti arahan daripada sistem navigasi digital kereta dan mendakwa tidak melihat sebarang papan tanda amaran di lokasi kejadian.
Xiaomi SU7 yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan varian asas model tahun 2024. Varian berkenaan dipasarkan tanpa sensor LiDAR pada bahagian bumbung.
Ia dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang hanya bergantung sepenuhnya kepada 11 unit kamera keselamatan, 12 unit sensor ultrasonik, radar gelombang milimeter dan seunit cip pemprosesan Nvidia dengan kuasa pengiraan puncak 84 TOPS.
Sebagai perbandingan, varian kelas atasan bagi model 2024 menawarkan sensor LiDAR AT128 serta dua cip Nvidia Orin-X dengan kuasa pengiraan 508 TOPS. P
Penganalisis automotif berpendapat, sekiranya kereta tersebut dilengkapi dengan teknologi LiDAR, sensor tersebut berkemungkinan besar mampu mengesan struktur timbunan tanah dengan lebih tepat sekali gus mengaktifkan fungsi AEB dengan lebih awal.
Sementara, Xiaomi SU7 model tahun 2026 didatangkan secara standard (pakej asas) dengan penderia LiDAR bersama cip tunggal Nvidia AGX Thor dengan kuasa pengiraan luar biasa sehingga 700 TOPS.



































