Youtuber 19 tahun ini, beli bas ubah suai jadi motorhome – Sempoi!

4215

Pemain drum dan Youtuber, Nur Amira Syahira sudahpun berusia 19 tahun. Bekas peserta Ceria Megastar itu memiliki pengikut seramai 2.98 juta di saluran Youtubenya.

Jika remaja masa kini memilik MPV Toyota Vellfire mahupun Alphard, Amira membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk merealisasikan impian memiliki motorhome sendiri.



Motorhome itu merupakan sebuah bas yang memiliki 23 tempat duduk yang dibeli dalam satu jualan lelong. Kemudian dia mengubahsuai bas berkenaan menjadi sebuah motorhome dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik tidur, bilik air, ruang makan dan sebagainya.

Nur Amira mengakui tujuan sebenar bas itu dibeli untuk memudahkannya bergerak dengan cepat dan selamat selain dapat menjimatkan kos penginapan.

Pada masa sama, dia turut mendapatkan khidmat sebuah syarikat perunding sebagai rujukan supaya proses ubah suai boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, susun atur dan kemudahan di dalam bas adalah hasil idea dari Amira sendiri supaya ia nampak kelihatan cantik, kemas dan dapat memberikan keselesaan seperti berada di dalam sebuah rumah.

Walaupun bas tersebut sudah berusia 18 tahun, namun masih mempunyai enjin dan luaran yang masih baik. Setakat ini, dia dan keluarga sudah menggunakan motorhome itu untuk ke beberapa lokasi menarik termasuk Cameron Highlands, Pulau Pinang dan Port Dickson.

“Secara keseluruhan, saya boleh katakan ia pembelian berbaloi yang dapat menjimatkan masa dan kos untuk jangka masa panjang.

“Tambahan pula ketika pandemik Covid-19 yang masih menular, saya dapat mengurangkan risiko terkena virus itu,” katanya baru-baru ini.

Menurut Amira, dia merancang untuk menaik taraf enjin dan menambah baik ruang dalaman motorhome supaya nampak lebih menarik dan jika diberi peluang dia merancang untuk mengembara mengelilingi Semenanjung dengan kenderaan tersebut.

VIDEO

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here