
Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah treler dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di hadapan Masjid Sabak Uni, Jalan Kluang-Batu Pahat, di Ayer Hitam, pagi Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam Penguasa Bomba Hafizul Adzrin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada jam 10.19 pagi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan tujuh kenderaan dengan 12 mangsa.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler hilang kawalan lalu merempuh enam kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata seorang lelaki yang memandu sebuah kereta ditemukan tersepit selepas kenderaannya terperosok di bawah treler dan usaha mengeluarkannya dilakukan menggunakan sebuah kren dan peralatan khas.
Mangsa kemudian, katanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Hafizul berkata mereka yang cedera pula ialah tiga mangsa menaiki lori jenis Isuzu, tiga mangsa menaiki Honda HR-V dan seorang mangsa menaiki lori jenis Hicom, dengan kesemuanya dihantar ke hospital untuk rawatan.
Empat mangsa lain termasuk pemandu treler dilaporkan selamat.