XPENG G6 2025 lancar di Malaysia: SUV coupe pintar dengan cas 12 Minit & jarak 525 km

23

Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar tunggal XPENG di Malaysia, secara rasmi melancarkan XPENG G6 versi facelift untuk pasaran tempatan.

Model itu pertama kali diperkenalkan pada Ogos 2024, namun versi 2025 hadir dengan lebih banyak peningkatan. Ia membabitkan daripada reka bentuk luaran dan dalaman, teknologi pintar, prestasi bateri, sehinggalah ciri keselamatan. 

Reka Bentuk Moden dan Aerodinamik

Bahagian luar XPENG G6 menerima sentuhan baharu yang lebih kemas dan moden. Ia kini dilengkapi bar lampu LED Starlight Wing penuh lebar dengan lampu isyarat bersepadu, diffuser belakang baharu untuk aerodinamik lebih baik serta logo XPENG kelabu matte yang kini ditempatkan pada hud.

Gerbang roda kini sewarna badan bagi penampilan lebih premium, manakala rekaan belakang “Ducktail” bukan sahaja menambah gaya tetapi juga meningkatkan kestabilan di jalan raya.

Kabin Lebih Premium dan Nyaman

Bahagian dalaman G6 berubah hampir 60 peratus dengan konsep Super Star-Ring Interior Design. Ia menampilkan papan pemuka baharu, pencahayaan ambien, stereng kapasitif, dan tema warna baharu Dark Gray serta Light Gray.

Antara ciri utama termasuk:

  • Skrin infotaimen 15.6 inci dengan kawalan suara pintar dan integrasi telefon pintar.
  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan, sokongan lumbar, pemanas dan ventilasi.
  • Tempat duduk belakang dengan 12 tahap boleh baring untuk memberi rasa seperti sofa.
  • Ruang kepala & kaki terbaik dalam kelasnya.
  • Bumbung suria panorama yang luas untuk suasana lebih mewah.

Teknologi Pengecasan Pantas 12 Minit

XPENG G6 menggunakan platform bateri LFP 800V SiC generasi baharu, iaitu sistem 5C LFP pertama dalam industri.

  • Pengecasan 10 sehingga 80 peratus hanya dalam 12 minit dengan kuasa puncak 451 kW.
  • Jarak pemanduan sehingga 525 km untuk sekali cas.
  • Bateri LFP lebih tahan lama, selamat, mesra alam kerana tidak menggunakan kobalt dan nikel.
  • Pek bateri baharu 80.5 kWh LFP (gantikan 87.5 kWh lama) untuk varian Long Range Pro & AWD Performance.

Ini menjadikan G6 sebagai EV dengan pengecasan paling pantas dalam kelasnya.

Ada RWD dan AWD

Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan dua pacuan membabitkan RWD dan AWD. Bagi varian RWD ia menyalurkan 292hp dengan tork setinggi 440Nm, manakala 480hp serta 660Nm bagi varian AWD.

Ia juga memiliki mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Individual, Launch dan Escape, selain kelajuan maksimum boleh mencatatkan 202km/j.

Ciri Keselamatan & Pemanduan Pintar

XPENG G6 dilengkapi suite bantuan pemandu pintar dengan cip pemanduan baharu dan stereng kapasitif MicroFiber dan ini fungsi utamanya:

  • Kawalan jelajah adaptif (Adaptive Cruise Control)
  • Bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist)
  • Parkir automatik (Auto Parking)

Bateri G6 juga direka dengan tahap keselamatan ekstrem dengan Armor gred balistik dan rangka keselamatan bertetulang. Selain itu, ia tahan suhu sehingga 1,000°C dan rempuhan sisi 80 tan. Bagusnsya, jangka hayat bateri lebih panjang dengan dipertingkat sehingga 30 peratus.

Varian & Warna

XPENG G6 ialah model import sepenuhnya (CBU) dari China. Ia ditawarkan dengan 5 warna luaran membabitkan:

  • Arctic White
  • Graphite Gray
  • Midnight Black
  • Silver Frost
  • Stellar Purple

Bagi bahagian dalaman, bakal pemiliknya boleh memilih dalam dua tema membabitkan Dark Gray atau Light Gray.

XPENG turut memperkenalkan Edisi Hitam (Black Edition) khas untuk varian AWD Performance dengan tampil logo XPENG hitam, rim aloi gloss black 20-inci dan angkup brek hitam.

Harga & Jaminan

Ditawarkan dengan tiga varian dengan harga bermula: 

  1. XPENG G6 RWD Long Range Pro: RM179,708
  2. XPENG G6 AWD Performance: RM190,708
  3. XPENG G6 AWD Black Edition: RM194,708

Selain itu, ia ditawarkan waranti pengeluar 5 tahun atau 120,000 km. Malah, diberikan lima tahun servis dan penyelenggaraan percuma atau 100,000 km. manakala 8 tahun atau 160,000km untuk waranti bateri voltan tinggi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here