
Inilah dia ahli baharu dalam keluarga motosikal CB Honda, iaitu Honda CB1000F (2026).
Jentera CB1000F ini berkongsi platform yang sama dengan model CB1000 Hornet, namun berbeza dengan model Hornet, CB1000F lebih ke arah sebuah jentera gaya retro.
Ia dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1,000 cc yang diperoleh daripada CBR1000RR Fireblade, namun dengan talaan kuasa 122 hp pada 9,000 rpm dan daya kilas 103 Nm pada 8,000 rpm.
Jentera ini turut dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, Cornering ABS, sistem pendikit berwayar (TBW), kawalan wheelie, HSTC, serta mod tunggangan Standard, Rain dan Sport.
Suspensi terdiri daripada fork hadapan SFF-BP USD Showa 41 mm dengan jarak pergerakan roda 130 mm, dibantu dengan sistem Pro Link Showa yang menawarkan jarak pergerakan roda 140 mm.
Brek pula menggunakan angkup Nissin empat omboh dengan rotor berkembar 310 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.
Informasi penting dipaparkan menerusi skrin LCD lima inci yang turut menawarkan sambungan kepada Honda RoadSync.
Sebagai satu cara untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar, Honda menggunakan bahan polypropylene kitar semula pada bahagian mudguard belakang dan panel bawah pelana.