
Sudah 12 tahun berlalu sejak Nissan mengacah kewujudan model kereta sports generasi baharu pacuan roda belakang IDx.
Sayang sekali, projek tersebut tidak langsung direalisasikan atas faktor kebimbangan ia mampu memberikan kesan kepada model 370Z sedia ada.
Kini pada tahun 2025, Nissan tidak menolak kemungkinan projek tersebut akan dihidupkan semula demi menarik perhatian demografik pembeli yang lebih muda.
Menurut CEO-nya Ivan Espinosa ketika temubual bersama majalah Kuruma News, “Saya berfikir (kereta seperti IDx) akan memenuhi keperluan tersebut. Ia akan menjadi sebuah model yang mampu menonjolkan jenama Nissan.
“Kedua, ia mempunyai potensi menarik minat demografik yang lebih muda.
Jelasnya lagi, walaupun faktor harga memainkan peranan, terdapat keperluan untuk menghasilkan sesuatu yang menarik golongan pengguna muda untuk terus mengikuti jenama.
Ketika ditanya tentang model Silvia baharu, Espinosa menjawab yang dia “suka untuk menghidupkan kembali model tersebut” namun mempersoalkan kebolehlaksanaannya.
Beliau menambah, kereta tersebut perlulah ringan dan dalam masa yang sama mampu memenuhi undang-undang keselamatan moden.
Adakah projek kereta sports baharu Nissan ini mampu mengembalikan semula era kegemilangan jenama itu?