
SUV dan crossover sememangnya sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan gaya hidup aktif dan aktiviti hujung minggu.
Untuk itu, syarikat pembekal komponen dalaman Jepun Hayashi Telempu menghasilkan aksesori mirip kepada kelengkapan yang ada pada Rolls-Royce Cullinan untuk dipadankan pada Toyota Corolla Cross.
Hayashi Telempu merupakan pembekal komponen dalaman terbesar di Jepun yang menghasilkan trim kabin, karpet lantai dan bahan kalis bunyi.
Antara pelanggan syarikat ini termasuklah Toyota, Honda, Nissan, Mazda, Mitsubishi dan Subaru, diikuti syarikat global seperti Ford, GM dan Stellantis.
Konsep Weekend Coast yang dihasilkan ini disasarkan kepada keluarga kecil serta pemilik haiwan peliharaan yang menjadikan SUV mereka sebagai kenderaan aktiviti luar hujung minggu.
Antara sorotan utama konsep ini ialah kerusi yang boleh ditarik keluar lengkap dengan footrest di ruang but, sama seperti Viewing Suite pada Rolls-Royce Cullinan.
Tidak cukup dengan itu, bahagian kabin turut menerima upholsteri baharu warna biru-putih dengan corak diinspirasikan daripada angin laut.
Antara ciri lain:
- sistem pencahayaan ambien kustom pada panel pintu
- bumbung kaca panorama
- upholsteri putih pada papan pemuka
































