
Trend kenderaan utiliti sukan (SUV) kini semakin meraih tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia bukan sekadar gaya, tetapi mencerminkan perubahan gaya hidup yang lebih aktif serta keperluan untuk kenderaan versatile selain sesuai untuk kegunaan harian mahupun pengembaraan hujung minggu.
Salah satu model SUV yang kini menjadi pilihan popular di pasaran adalah Toyota Corolla Cross.
Berbekal reputasi Toyota yang kukuh dan kebolehpercayaannya, disokong komitmen jangka panjang terhadap kecemerlangan kejuruteraan serta inovasi berterusan, Corolla Cross membawa ‘DNA’ jenama ini ke segmen SUV kompetitif, sekali gus meletakkannya pada posisi yang diyakini pengguna.
Toyota Corolla Cross mula diperkenalkan dalam pasaran tempatan pada 2021 kemudian UMW Toyota Motor melancarkan versi facelift yang lebih segar dan moden pada Disember 2024.
Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada kitaran produk, selari dengan falsafah Kaizen Toyota iaitu penambahbaikan berterusan (never-ending pursuit of excellence), bagi memastikan setiap model kekal relevan, kompetitif, dan memberi nilai terbaik untuk pengguna.
Corolla Cross yang diperbaharui ini bukan sekadar tampil dengan rekaan yang lebih moden, tetapi turut membawa penambahbaikan yang benar-benar relevan dengan keperluan rakyat Malaysia.
Ia mencerminkan pendekatan Toyota dalam mencipta kenderaan yang sesuai dengan gaya hidup tempatan, keadaan jalan raya, dan keutamaan pengguna di sini.
TIGA VARIAN MENGIKUT CITARASA
Memahami bahawa setiap individu mempunyai citarasa dan keperluan yang berbeza, pasaran tempatan ditawarkan dalam tiga pilihan varian:
- Bagi yang menggemari enjin petrol dengan kuasa yang responsif untuk pemanduan harian, varian 1.8V sedia ditawarkan.
- Jika anda ingin melangkah ke dalam dunia kenderaan hibrid dan menikmati penjimatan bahan api yang ketara serta pemanduan yang lebih ‘hijau’, varian 1.8 HEV adalah pilihan yang sangat relevan.
- Manakala untuk mereka yang mahukan penjimatan bahan api hibrid, ditambah dengan sentuhan gaya yang lebih sporty dan rasa pemanduan dinamik, Corolla Cross 1.8 HEV GR Sport direka khas untuk anda.
REKA BENTUK & CIRI LUARAN
Corolla Cross 2025 menampilkan reka bentuk luaran yang lebih sofistikated menerusi rekaan semula jeriji dua bahagian dan lampu bi-LED serba baharu.
Walaupun bersaiz kompak, Corolla Cross kekal bergaya lasak dengan garis badan yang tegap serta proporsi seimbang. Ia memiliki panjang 4,460mm, lebar 1,825mm, tinggi 1,620mm dan jarak roda 2,640mm.
Bahkan saiz badan sedemikian menawarkan pengendalian lincah di persekitaran bandar yang sibuk namun pada masa sama menawarkan kestabilan dan jarak kelegaan tanah 161mm yang cukup untuk melalui jalan tidak rata dengan yakin.
Praktikaliti adalah kunci pada sebuah SUV. Ruang kargo 440 liter pada Corolla Cross menyediakan ruangan yang lebih daripada mencukupi untuk barangan runcit mingguan atau bagasi percutian singkat.
Sekiranya anda memerlukan ruangan lebih, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 60:40 dengan mudah.
Salah satu ciri yang pasti memudahkan urusan harian ialah pintu but belakang automatik yang dilengkapi sensor kaki. Dengan hanya menggerakkan kaki di bawah bampar belakang, pintu but akan terbuka secara automatik – satu ciri yang amat praktikal!.
COROLLA CROSS HEV GR SPORT
Varian ini dicipta buat anda yang menginginkan model hibrid dengan penampilan sporty dan menawarkan rasa pemanduan yang ‘bernyawa’.
Rekaan luar lebih agresif dan dinamik dengan jeriji yang lebih besar, bampar yang garang, dan rim aloi dua tona yang sporty.
Bukan sekadar penampilan, rasa pemanduan ditala agar lebih mengujakan di mana model ini dilengkapi set suspensi lebih tegar dan pendakap berprestasi untuk aksi lebih hebat di selekoh dan rasa pemanduan lincah.
Di bahagian dalam, sentuhan eksklusif GR Sport dapat dirasai melalui jahitan merah yang kontra, logo GR pada butang penghidup enjin, alas kaki, dan kerusi yang memberikan suasana kabin eksklusif.
Model ini khas buat mereka yang menyukai kombinasi efisiensi hibrid dengan semangat prestasi Gazoo Racing!.
RANGKAIAN KUASA HIBRID & PRESTASI
Sistem hibrid pada Corolla Cross HEV adalah hasil pembangunan teknologi Toyota selama lebih dari dua dekad.
Rangkaian kuasa ini terdiri daripada enjin 2ZR-FXE 1.8 liter VVT-i dengan kitaran Atkinson bersama dua motor elektrik dan bateri NMH untuk menawarkan prestasi serta penjimatan bahan api.
Enjin petrol menghasilkan kuasa 98PS dan tork 142Nm, sementara motor elektrik menjana output 53kW dan 163Nm. Gabungan kedua-dua elemen ini menghasilkan kuasa keseluruhan 122PS.
Corolla Cross HEV mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 23.3 kilometer per liter (km/l) dan setangki penuh 36 liter boleh digunakan sehingga 800km.
MOD PEMANDUAN: EV, SPORT & ECO
Salah satu ciri utama Corolla Cross HEV ialah keupayaannya beroperasi menggunakan motor elektrik sahaja, tanpa menghidupkan enjin petrol.
Keupayaan ini bukan sahaja memberi penjimatan bahan api tetapi juga mengurangkan emisi karbon.
Operasi sistem hibrid dan enjin petrol Corolla Cross HEV:
1. Permulaan Pemanduan/Kelajuan Rendah
- Hanya motor elektrik menggerakkan kereta menggunakan tenaga dari bateri.
2. Pemanduan Normal
- Enjin petrol dan motor elektrik bekerjasama atau bergandingan menggerakkan kereta.
3. Pecutan (Dua kuasa untuk pecutan lebih pantas)
- Enjin petrol dan motor elektrik memberikan kuasa maksimum.
- Tenaga tambahan dari bateri digunakan untuk membantu motor elektrik.
4. Membrek (Tenaga brek digunakan untuk mengecas bateri)
- Tenaga yang dijana daripada brek digunakan untuk mengecas semula bateri.
5. Berhenti (Enjin dihentikan secara automatik)
- Operasi enjin dihentikan untuk menjimatkan bahan api.
6. Mod Pemanduan
- Mod EV: Motor elektrik mengambil alih pemanduan.
- Mod Sport: Pecutan berprestasi.
- Mod Eco: Memaksimumkan kecekapan bahan api.
DALAMAN & KELENGKAPAN TEKNOLOGI
Kabin Corolla Cross HEV direka ringkas tetapi moden, dengan skrin sentuh 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.
Kluster meter digital 12.3 inci hadir dengan empat tema paparan yang boleh disesuaikan, termasuk paparan khusus untuk memantau penggunaan tenaga hibrid.
Selain itu, model baharu ini tidak lagi menggunakan brek kaki, tetapi ia diganti dengan brek parkir elektronik bersama Auto Hold.
SISTEM KESELAMATAN TOYOTA SAFETY SENSE (TSS) 3.0
Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Toyota dan Corolla Cross HEV dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif termaju, Toyota Safety Sense (TSS) 3.0 sebagai ciri standard.
Antara ciri utama dalam TSS 3.0 termasuk:
- Sistem Pra-Pelanggaran (PCS): Boleh mengesan kenderaan, pejalan kaki atau penunggang basikal di hadapan dan beri amaran, serta boleh membrek secara automatik sekiranya terdapat risiko pelanggaran.
- Amaran Tukar Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng: Mengesan garisan lorong, beri amaran kalau kereta mula terkeluar dari lorong tanpa disengajakan, dan sistem memberi maklum balas kepada stereng untuk kembalikan kereta ke laluan asal.
- Kawalan Pandu Radar Dinamik (DRCC): Ini merupakan ciri ideal yang mengurangkan keletihan pemanduan jarak jauh. Sistem berkenaan membolehkan kereta mengikuti kenderaan di hadapan dengan jarak yang ideal melalui penyesuaian kelajuan yang ditetapkan oleh pemandu dan mengekalkan jarak selamat selepas mengaktifkan kawalan jelajah.
- Bantuan Pengecaman Lorong (LTA): Berfungsi bersama DRCC, ia membantu mengekalkan kereta di tengah-tengah lorong.
Corolla Cross HEV turut dilengkapi Amaran Lintasan Lalu Lintas Belakang (RCTA), Pemantauan Titik Buta (BSM) dan tujuh beg udara untuk perlindungan maksimum kepada pemandu dan penumpang.
Pilihan Varian dan Anggaran Harga:
- Corolla Cross8V A/T: RM133,800
- Corolla Cross 8 HEV A/T: RM140,800
- Corolla Cross 1.8 HEV GR SportA/T : RM148,800
Ketiga-tiga model ini adalah pilihan tepat bagi mereka yang mengutamakan gaya, prestasi, dan penjimatan bahan api.
WARANTI KENDERAAN DAN HIBRID
Setiap pembelian Toyota Corolla Cross datang dengan jaminan pengeluar selama 5 tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu). Jaminan ini penting untuk beri keyakinan dan ketenangan minda kepada pemilik.
Komponen hibrid seperti bateri, penyongsang (inverter) dan ECU didatangkan dengan waranti lapan tahun dan juga tanpa had perbatuan.
TOYOTA COROLLA CROSS – PAKEJ UNTUK ANDA!
Toyota Corolla Cross 2025 menampilkan gabungan praktikaliti, teknologi moden dan kecekapan bahan api yang menjadikannya pilihan sesuai untuk pelbagai gaya hidup.
Jika anda sedang mencari SUV yang bukan sahaja sesuai untuk keperluan harian malah menawarkan nilai jangka panjang, inilah masanya untuk mempertimbangkan Corolla Cross.
Kunjungi bilik pameran Toyota berhampiran atau layari www.toyota.com.my untuk maklumat lanjut dan promosi semasa.