
Nerva merupakan salah satu jenama pengeluar skuter elektrik di Eropah yang bersaing dengan jenama lain seperti NIU, Silence dan GOVECS.
Beberapa tahun lepas, Nerva ada melancarkan skuter maxi elektrik Exe yang praktikal, berkuasa 12.1 hp yang dipadankan dengan sepasang bateri LFP BYD 5.76 kWh.
Model tersebut kini disusuli dengan kemas kini terbaharu yang dinamakan sebagai Exe II.
Model yang telah direka semula ini menampilkan imej yang lebih anggun dan bergaya, di mana ia dikuasakan oleh motor elektrik 26 hp (kuasa berterusan 15 hp) dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 130 km/j.
Untuk model Exe II ini, Nerva sekali lagi bekerjasama dengan BYD dengan memadankan pek bateri tunggal Blade LFP 7.83 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 180 km.
Bateri BYD itu menyokong pengecasan 3.3 kW di mana pemilik boleh mengecas bateri dari sifar ke 80 peratus dalam masa dua jam menggunakan port Type 2.
Tiga mod tunggangan disediakan, iaitu Eco, Normal (jarak gerak 140 km) atau Sport (90 km) selain ciri seperti ABS dua saluran, kawalan cengkaman, brek regeneratif, mod undur, dan storan untuk dua buah helmet.
Segala info dipaparkan menerusi skrin TFT 8.8 inci yang turut menyokong sambungan kepada aplikasi peranti pintar.
Di Eropah, harga jualan skuter elektrik Nerva Exe II bermula sekitar 7,990 euro (RM39,331).