
Ketika hype terhadap kenderaan elektrik (EV) sedang memuncak, Dodge berharap pengenalan model Charger Daytona sedikit sebanyak membawa era baharu untuk segmen kereta muscle.
Sayang sekali, tahap penerimaan terhadap Charger Daytona tidak seperti yang diharapkan, sehinggakan Dodge terpaksa menghentikan terus penawaran model asas R/T.
Kini, Dodge Charger hanya mempunyai satu varian sahaja untuk mereka yang mahukan kereta muscle berkuasa elektrik.
Bagi peminat enjin pembakaran dalaman, Dodge akan menggandakan produksi bagi model Charger (dua dan empat pintu) berenjin enam silinder sebaris 3.0 liter di kilang pemasangan Windsor.
Kilang yang terletak di Kanada itu akan beroperasi dalam dua syif bermula 23 Jun berbanding syif tunggal sejak kebelakangan ini.
Menurut Sam Fiorani daripada AutoForecast Solutions memberitahu laman Windsor Star, “(Dodge Charger EV) merupakan sebuah produk hebat, namun pasaran untuk kenderaan tersebut mahukan enjin berkuasa petrol.
“Perubahan regulasi emisi di Amerika Syarikat telah membenarkan lebih banyak kenderaan berenjin petrol. Fokus terhadap varian ICE kini lebih kuat berbanding apa yang dirancang sebelum ini.
Dodge sebelum ini dilapor sedang meneroka kemungkinan untuk memuatkan enjin V8 ke dalam Charger generasi terkini yang dibina berdasarkan platform STLA Large.