
Bersempena dengan sambutan ulang tahun Corolla yang ke-60, Toyota Jepun melancarkan model Corolla Cross edisi khas yang dinamakan sebagai Z Adventure.
Berbeza dengan penampilan standard yang dikhususkan untuk pasaran Jepun, Corolla Cross Z Adventure mengambil rekaan wajah daripada model non-hibrid yang dihasilkan untuk pasaran Amerika Syarikat.
Sentuhan gaya lasak diteruskan dengan penampilan skid pate ala aluminium, logo ulang tahun ke-60 pada fender, serta rim matte gray enam jejari saiz 17 inci.
Terdapat pilihan warna Urban Khaki, Platinum White Pearl Mica dan Mud Bath dan Black Mica di mana kesemuanya dipadankan dengan bumbung hitam.
Toyota turut menawarkan Z Adventure Set yang menambah tulisan TOYOTA pada jeriji gaya Land Cruiser, serta kemasan Meteor Coat pada plastik pelindung bampar, skirt sisi dan fender.
Untuk ruang kabin, terdapat upholsteri kulit sintetik dan fabrik dalam warna Mineral dan hitam yang diakhiri dengan jahitan kontras dan aksen Smoke Silver Metallic.
Selain edisi khas, Toyota turut mengemas kini rangkaian Corolla Cross dengan penambahbaikan seperti pemanas roda stereng dan pakej keselamatan ADAS yang lebih lengkap.
Dari segi kuasa, Corolla Cross mengekalkan penawaran sistem pacuan hibrid pengecasan kendiri yang terdiri daripada enjin 1.8 liter dan motor elektrik, serta pilihan pacuan roda depan dan pacuan semua roda E-Four.
Di Jepun, Toyota Corolla Cross Z Adventure E-Four dijual pada harga 3,921,500 yen (RM98,599) sementara Z Adventure Set memerlukan tambahan 297,000 yen (RM7,468).





































