Toyota Gazoo Racing perkenal jentera lumba Corolla Cross, nampak macam wagon!

704

Sekali imbas, kereta ini nampak macam sebuah wagon sporti yang dihasilkan oleh Toyota untuk golongan ‘daddy cool’ di luar sana.

Hakikatnya, ia bukanlah sebuah wagon produksi sebenar, akan tetapi ia merupakan sebuah jentera lumba Corolla Cross yang direka khusus untuk kejuaraan Stock Car Pro Series di Brazil.

Usah risau kerana jentera ini tidak langsung menggunakan casis asal Corolla Cross yang agak tinggi itu.



Reka bentuk badan yang rendah itu sebenarnya menggunakan platform jentera perlumbaan yang khusus (Audace SNG01) yang turut sama digunakan oleh SUV lumba lain seperti Chevrolet Tracker dan Mitsubishi Eclipse Cross.

Bahagian luar menggandingkan penggunaan bahan gentian karbon, aramid, gentian kaca dan Kevlar, diikuti dengan padanan sistem aerodinamik dan penyejukan yang serba agresif.

Kabin jentera lumba ini dipasangkan dengan sangkar oleng penuh, panel kawalan kustom, skrin paparan, serta kamera 360 darjah – bukan untuk kegunaan parkir akan tetapi digunakan untuk memaparkan rakaman dalam kabin semasa perlumbaan!

Jentera lumba Corolla Cross ini dikuasakan oleh enjin 2.1 liter turbo berkuasa sekitar 500 hp menggunakan bahan api khas Podium.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi sekuential Xtrac enam-kelajuan, dibantu dengan sistem gantungan pushrod yang menampilkan penyerap hentak boleh laras Penske Racing.

Sistem brek jentera ini terdiri daripada rotor Hipper Freios, pelapik brek Cobreq dan angkup brek AP Racing.

Untuk makluman, sejak tahun 2020 Toyota Gazoo Racing mendominasi kejuaraan Brazillian Stock Car Pro Series dengan meraih 49 kemenangan daripada 106 perlumbaan yang dianjurkan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here