Perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 perkukuh operasi Maritim Malaysia

31

Perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 merupakan langkah strategik yang amat signifikan dalam usaha memperkukuh keupayaan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), khususnya di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata perolehan aset strategik itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kesiapsiagaan agensi keselamatan maritim negara sentiasa berada pada tahap optimum bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

“Maritim Malaysia amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterajui oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta semua pihak yang terlibat atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan,” katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyib Erdogan menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman yang pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan Republik Türkiye, semasa lawatan kerja rasmi ke Republik Turkiye. Foto: IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Bernama melaporkan Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen termasuk Surat Niat (LOA) perolehan sebuah Kapal MPMS 2, pada Rabu.

Pemeteraian dokumen berkenaan disempurnakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan yang bermula Selasa.

Mohd Rosli berkata kapal yang bakal dibina oleh Desan Shipyard, Turkiye itu bernilai kira-kira USD83.75 juta (RM350 juta) dan akan berfungsi sebagai aset pelengkap penting, khususnya bagi operasi jarak jauh dengan keupayaan berteknologi tinggi.

Dari segi spesifikasi, beliau berkata kapal itu direka sebagai platform operasi pelbagai peranan dengan panjang 99 meter dan lebar 17 meter, yang mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 20 knot serta beroperasi hingga 30 hari secara berterusan tanpa perlu ulang bekal.

Beliau berkata kapal itu juga mampu menempatkan 70 kru dan 30 penumpang atau anggota tambahan, selain dilengkapi kemudahan sel tahanan berasingan yang boleh memuatkan hingga 45 tahanan selaras dengan keperluan operasi penguatkuasaan undang-undang maritim.

“Keupayaan operasi kapal ini diperkukuh dengan geladak helikopter, sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi tujuan pemantauan dan risikan serta empat bot pemintas laju (FIC) untuk menyokong rondaan pantai dan tindakan penguatkuasaan segera.

“Kapal ini turut dilengkapi kemudahan hospital mini serta sistem persenjataan yang bersesuaian bagi memastikan keselamatan kru dan operasi di kawasan berisiko,” katanya.

Justeru, Mohd Rosli optimis perolehan kapal MPMS 2 itu berupaya memberi keyakinan kepada rakyat bahawa keselamatan perairan negara terus menjadi keutamaan kerajaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here