
Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi menemukan empat lagi mayat petang ini.
Penemuan itu sekali gus menjadikan 20 mangsa ditemukan maut setakat ini manakala 14 lagi ditemukan selamat termasuk seorang, pada Selasa.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat satu wanita berhampiran Pulau Intan Kecil, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Pasukan Angkatan Pertahanan Awam telah mengatur gerak bot ke lokasi untuk membawa mayat berkendan ke jeti bagi proses serahan kepada polis. Pada 1.41 tengah hari pula, Jabatan Laut Malaysia memaklumkan mengenai penemuan satu mayat lelaki terdampar di barat Tanjung Belua.
“Beberapa minit kemudian, KM Siangin turut mengesan satu lagi mayat lelaki di lokasi kira-kira 1.6 batu nautika dari Tanjung Belua dan penemuan terakhir pada pukul 4.13 petang, iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemukan satu mayat lelaki kira-kira satu batu nautika dari Tanjung Belua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat 5.30 petang Selasa, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga merekodkan 14 mangsa diselamatkan iaitu 12 lelaki dan dua wanita manakala 20 mangsa yang maut terdiri daripada tujuh lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Operasi pencarian mash diteruskan dengan bantuan aset pelbagai agensi dan kawasan pencarian ditumpukan di zon unjuran arus dan cuaca semasa yang dikenal pasti berpotensi membawa mangsa ke daratan,” katanya.
Orang ramai yang menjumpai mangsa diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menerusi talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.
































