Utama Berita Automotif Bot PPM terbabas ketika kejar suspek penyeludupan migran

Bot PPM terbabas ketika kejar suspek penyeludupan migran

11

Sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor terbabas dan terkandas di tebing sungai di Kampung Teluk Renjuna, di Tumpat ketika mengejar bot yang dinaiki suspek dipercayai penyeludup.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 6 pagi pada Khamis ketika pasukan tersebut mengesan sebuah bot fiber disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan migran di sekitar Sungai Kelantan.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal@Zainan berkata, ketika itu pasukannya sedang menjalankan Op Taring Landai/Op Khas Aidilfitri Fasa 1/2026.

“Pasukan kami mengesan sebuah bot fiber disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan curiga dengan pergerakan bot fiber, sebuah bot ronda PPM diatur gerak dengan kekuatan empat anggota ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan.

“Menyedari kehadiran Bot PPM, suspek segera memecut botnya untuk cuba melarikan diri dari ditahan dan selama lima minit mengejar, suspek bertindak menyuluh cahaya spotlight yang sangat terang ke arah jurumudi Bot PPM.

“Ia bertujuan mengganggu fokus penglihatan sehingga mengakibatkan bott PPM terbabas dan seterusnya terkandas di tebing sungai Pulau Teluk Rejuna” katanya. 

Mohd Khairuddin berkata, pasukan bantuan dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan tiada sebarang kecederaan serius berlaku kepada semua kru yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat.

Katanya, PPM juga menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sindiket penyeludupan migran berkenaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Markas PPM Wilayah Tiga di talian 09-5147726.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here