Pemandu lori kantoi bawa muatan berat tanpa lesen sah

8

Seorang pemandu lori ditahan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Ops Penyamaran di Lebuhraya Grand Sepadu, Klang pada Isnin selepas didapati membawa muatan ‘rolled steel coil’ tanpa lesen sah dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati pemandu lori jenis low loader itu bukan sahaja tidak memiliki GDL, malah juga tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah.

“Lebih membimbangkan, kenderaan berat seperti ini membawa muatan berisiko tinggi yang boleh menggelongsor atau jatuh jika tidak diikat dengan sempurna.

“Tanpa lesen memandu dan GDL yang sah, risiko kemalangan amat tinggi dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Susulan penahanan itu, JPJ Selangor membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“JPJ akan memohon kepada mahkamah untuk melucut hak lori itu mengikut Seksyen 80 akta sama.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menunjukkan kegagalan pihak pengendali dalam memastikan keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Menurutnya, JPJ amat kesal apabila masih ada pengendali membenarkan individu tanpa lesen sah mengendalikan kenderaan berat.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja salah, tetapi membahayakan nyawa orang lain, JPJ tidak akan berkompromi dengan sikap sambil lewa seperti ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here