Polis ambil keterangan anggota URB, pemain bola sudah pulang ke negara asal

8

Keterangan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang terkait video tular berhubung dakwaan seorang pemain bola dari negara jiran yang menuduhnya meminta wang ketika pemeriksaan dijalankan ke atasnya, sudah direkodkan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, anggota berkenaan membuat laporan polis pada 7 November lalu susulan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya individu yang membuat dakwaan seperti video tular berkenaan sudah pulang ke negara asal.

“Anggota berkenaan sudah diambil keterangan dan individu yang membuat dakwaan itu juga sudah kembali ke negara asalnya,” katanya kepada Harian Metro.

Wan Azlan berkata, video itu melibatkan anggota URB yang sedang menjalankan tugas rondaan ketika kejadian dan pihaknya membuka satu kertas siasatan bagi menjalankan siasatan lanjut berikutan penularan video berkait perkara itu.

Semalam media melaporkan, polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pemain bola dari negara jiran yang menuduh anggota polis meminta wang ketika pemeriksaan dijalankan ke atasnya, baru-baru ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here