
Seorang penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan 1.1 tan gula dan minyak masak peket di kawasan hutan berhampiran Kampung Tasek di Rantau Panjang pada Ahad selepas dikejar sejauh 10km oleh anggota penguatkuasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswady Jaafar berkata suspek yang memandu Proton Waja itu dikesan melakukan aktiviti penyeludupan kira-kira jam 1.02 petang.
“Menyedari kegiatan itu, sepasukan anggota KPDN dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor terus bertindak mengejar kereta tersebut bermula dari Lubok Gong ke Banggol Kulim,” katanya pada Selasa.
Tambah beliau, penyeludup itu kemudian bertindak meninggalkan kereta tersebut dan terus melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran Banggol Kulim.
Aswady berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit telah menemukan sejumlah 510kg minyak masak peket dan 648 kg gula bernilai lebih RM8,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.






























