JPJ cadang kamera AwAS di lokasi ‘black spot’

108

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencadangkan pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) di laluan berisiko tinggi dan lokasi kerap kemalangan atau ‘black spot’ di negeri tersebut. 

​Pengarahnya, Zamri Samion berkata langkah itu penting bagi menurunkan kadar kelajuan kenderaan selain meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan ditetapkan.

Menurut beliau, selain pemasangan kamera, penambahbaikan fasiliti di laluan berisiko seperti pemasangan jalur bergetar (rumble strip) juga perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kadar kelajuan kenderaan sekali gus meminimumkan risiko nahas.

​”Di peringkat JPJ, mungkin kita boleh cadangkan pemasangan kamera AwAS di laluan-laluan yang kita lihat tinggi risiko dan menjadi ‘black spot’ kemalangan.

“Langkah berkesan perlu diambil bagi menurunkan kadar kelajuan pengguna di kawasan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, 25, pada Isnin lalu.

Katanya, walaupun status lokasi ‘black spot’ perlu disahkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kekerapan kemalangan di kawasan itu memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

​”Sepertimana kes yang berlaku baru-baru ini, kita anggap laluan itu sebagai kawasan berisiko. Kita tidak pasti lagi sama ada PDRM dah jadikan kawasan itu sebagai ‘black spot’ kerana terdapat kaedah bagi menjustifikasikannya.

​”Tetapi, melihat kepada tragedi yang berlaku, semua pihak perlu melakukan sesuatu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai statistik ketidakpatuhan lampu isyarat, Zamri mendedahkan sebanyak 4,423 kes direkodkan sepanjang tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu.

​Berdasarkan pecahan data tersebut, penunggang motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 3,348 kes, diikuti pemandu motokar sebanyak 917 kes.

​”Lain-lain kenderaan pula mencatatkan 106 kes, kenderaan barangan (49 kes) dan kenderaan perkhidmatan awam sebanyak tiga kes,” jelasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here