Utama Berita Automotif Pertama dunia, trak perlombongan bateri natrium ion mula operasi

Pertama dunia, trak perlombongan bateri natrium ion mula operasi

7

Trak perlombongan elektrik sepenuhnya yang pertama di dunia berkuasa bateri natrium-ion (sodium-ion) telah diserahkan secara rasmi di lombong Tangshan Sanyou.

Kenderaan berat berkenaan merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama antara Hina Battery dan Tonly Heavy Industry.

Dibina berasaskan platform trak perlombongan TLE120 milik Tonly, ia dilengkapi dengan sistem bateri natrium-ion siri “Haixing” daripada Hina Battery.

Sistem ini mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 676 kWh dengan ketumpatan tenaga sel 165 Wh/kg yang direka khusus bagi memenuhi tuntutan pengangkutan jarak pendek serta beban berat dalam operasi perlombongan.

Menurut Hina Battery, ia menyokong pengecasan pantas yang mana isian bateri daripada 0 hingga 100 peratus hanya mengambil masa 20 hingga 25 minit.

Di bawah kitaran pengecasan pantas yang kerap, bateri itu mampu mengekalkan jangka hayat kitaran melebihi 8,000 kali yang mana sejajar dengan tempoh perkhidmatan keseluruhan trak perlombongan berkenaan.

Selain itu, bateri natrium-ion menawarkan prestasi lebih unggul dalam julat suhu yang luas dan sel bateri menunjukkan kadar kemerosotan kapasiti yang jauh lebih rendah dalam persekitaran suhu sejuk.

Ini menjadikan kenderaan tersebut sangat sesuai untuk kawasan lombong terbuka di wilayah utara semasa musim sejuk, sekali gus menyelesaikan masalah penurunan jarak pemanduan yang kerap dihadapi oleh trak elektrik berkuasa litium.

Berbanding trak perlombongan diesel, versi elektrik ini menghapuskan pelepasan ekzos serta mengurangkan pencemaran bunyi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here