Utama Berita Automotif China mula uji trak tugas berat guna bateri garam (natrium)

China mula uji trak tugas berat guna bateri garam (natrium)

10

FAW Jiefang, syarikat pengeluaran trak tugas berat bagi kumpulan FAW berkongsi pencapaian penting dalam pembangunan kenderaan komersial tenaga baharu selepas berjaya menyelesaikan ujian pelbagai senario menggunakan teknologi bateri natrium-ion (sodium-ion).

Projek yang dijalankan dengan kerjasama HiNa Battery itu menandakan satu lonjakan kritikal dalam menangani cabaran berterusan industri berhubung penurunan prestasi bateri dalam cuaca ekstrem sejuk serta pengecasan yang perlahan.

Kenderaan ujian menggunakan sebuah trak elektrik, FAW Jiefang J6P yang dilengkapi dengan bateri natrium-ion berkapasiti 339 kWh. Sepanjang tempoh ujian yang memakan masa hampir tujuh bulan itu, trak merekodkan jarak perjalanan terkumpul melebihi 15,000km.

Hasil ujian membuktikan ketahanan teknologi tersebut dalam persekitaran yang ekstrem melibatkan sejuk melampau mencecah -40 darjah celcius.

Bateri tersebut mampu mengekalkan lebih 90 peratus daripada kapasiti yang boleh digunakan sekali gus menawarkan jalan penyelesaian yang praktikal untuk operasi logistik di wilayah bergaris lintang tinggi seperti di Timur Laut dan Barat Laut China.

Selain prestasi cemerlang dalam cuaca sejuk, kenderaan turut menawarkan peningkatan dari segi kecekapan operasi. Ia boleh dicas penuh dalam masa 20 hingga 25 minit sahaja.  

Tambahan pula, bateri menunjukkan daya tahan yang luar biasa dengan jangka hayat kitaran melebihi 8,000 kitaran di bawah keadaan pengecasan pantas, sekali gus mengatasi piawaian konvensional industri.

Langkah elektrifikasi trak tugas berat kini bersedia untuk menjadi trend utama yang seterusnya. Sebelum ini, 11 jabatan kerajaan China, termasuk Kementerian Pengangkutan serta Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Negara melancarkan pelan pelaksanaan bersama untuk memperluas penggunaan trak tugas berat tenaga baharu (NE-HDT).

Dasar tersebut menetapkan sasaran tinggi yang mana menjelang 2030, kadar penembusan pasaran NE-HDT di China dijangka mencecah 40 peratus, dengan saiz keseluruhan armada melebihi 1.6 juta unit iaitu merangkumi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan trak tugas berat di negara itu.

HiNa Battery merupakan sebuah syarikat China yang pakar dalam pengeluaran bateri natrium-ion (Na-ion). HiNa memegang paten teras yang meliputi bahan katod (Na-Cu-Fe-Mn-O), bahan anod (karbon lembut berasaskan berasit), serta proses pembuatan dengan mencapai ketumpatan tenaga sebanyak 155–165 Wh/kg.

Produk keluaran mereka menyasarkan storan tenaga berskala besar, kenderaan elektrik komersial dan berkelajuan rendah serta aplikasi sistem keselamatan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here